Pekema teliti pelan pemasangan CKD kenderaan EV, yakin Perak lokasi strategik


  • Bisnes
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Pekema meneliti pelan untuk memulakan CKD kenderaan EV bagi memperkukuh daya saing ahlinya di pasaran automotif yang semakin kompetitif. — Gambar hiasan

PERSATUAN Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sedang meneliti pelan untuk memulakan pemasangan tempatan (completely knocked down – CKD) kenderaan elektrik (EV).

Rancangan itu disifatkan sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh daya saing ahli Pekema di pasaran automotif yang semakin kompetitif.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya yakin ia mampu direalisasikan dengan melihat perkembangan positif semasa apabila sebuah syarikat automotif antarabangsa mengumumkan rancangan membuka kilang CKD di Perak baru-baru ini.

BACA LAGI: Golfer muda Johor bawa pulang Piala Presiden acara golf amal Pekema edisi ke-11

BACA LAGI: Bos Pet World menongkah arus demi 'anak bulus', ambil 'bold action' labur jutaan ringgit ketika Covid-19

Kereta elektrik Dongfeng Box — EV rasmi Pekema.

Beliau berkata, perkembangan tersebut jelas mencerminkan kepercayaan berterusan pelabur asing dan domestik terhadap dasar Malaysia yang jelas dan agenda pembaharuan industri jangka panjang.

Sehubungan itu, menurut Mohamed Nazari, Pekema kini mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan bagi meneroka potensi kerjasama ke arah merealisasikan usaha pemasangan CKD berkenaan.

"Kami juga sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai cadangan menjalankan pemasangan CKD bagi model yang kini dibawa masuk secara import (completely built-up – CBU).

"Buat masa ini, terdapat dua hingga tiga pihak yang sedang berunding dengan kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Golf Amal Pekema Edisi Ke-11 Tahun 2025.

Sementara itu, Mohamed Nazari berkata, Perak dilihat sebagai lokasi strategik kerana mempunyai infrastruktur lengkap untuk menyokong operasi pemasangan EV.

Berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM190.3 bilion pada separuh pertama 2025, peningkatan 18.7 peratus tahun ke tahun.

Limpahan daripada aliran masuk pelaburan diluluskan itu dijangka memberi kesan positif kepada ekosistem automotif negara, khususnya dalam memacu minat pemain industri untuk menjalin kerjasama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram