
PEMAIN golf amatur dari Johor dinobatkan sebagai juara Kejohanan Golf Amal President’s Cup Edisi ke-11 anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).
Muhammad Sharul Fauzan Ibrahim, 28, membawa pulang piala pusingan President's Cup, piala iringan dan hadiah wang tunai pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah di Putrajaya Marriott Hotel pada Ahad malam.
Skor 43 poin dengan tiga handicap mengikut System Stableford melayakkan Muhammad Sharul Fauzan bergelar juara pada acara golf amal yang berlangsung selama dua hari di Palm Garden Golf Club, Putrajaya, hujung minggu lalu (23 dan 24 Ogos).
BACA LAGI: Cendol RM1 ilham arwah ibu, jadi resipi bertahan niaga 20 tahun di Taman Melati
BACA LAGI: Gaji RM2,500 pun boleh buat! Kaedah S-N-O-W-B-A-L-L langkah bijak lunaskan hutang satu persatu
Acara golf amal Pekema yang berlangsung selama dua hari di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.
Selepas dua hari berlangsung di Palm Garden Golf Club, kejohanan yang menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia, Sabah, Sarawak serta penyertaan antarabangsa dari Jepun, Singapura dan Vietnam.
Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin menerusi ucapannya berkata, edisi kali ini amat bermakna kerana bukan sahaja mengangkat martabat golf amal di Malaysia, malah membuka lembaran baharu apabila buat pertama kali dianjurkan di Semenanjung.
“Kejohanan ini adalah platform strategik yang menyatukan ahli perniagaan, pemimpin industri dan agensi kerajaan.
"Pada masa sama, ia membuktikan komitmen Pekema terhadap kebajikan masyarakat melalui Yayasan Pekema,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Sazrudeen Datuk Wan Zaid pula menegaskan bahawa penganjuran kali ini membawa mesej bahawa keusahawanan, teknologi dan kebajikan boleh digabungkan dengan nilai sukan.
“Golf menghubungkan ramai pihak, tetapi yang lebih penting ia memberi makna apabila dapat dikongsi dengan masyarakat yang memerlukan. Itulah semangat sebenar Pekema Charity Golf,” ujarnya.
Antara artis yang menerima sumbangan bantuan sara hidup sebanyak RM3,000 daripada Yayasan Pekema.
Kejohanan berprestij itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah kereta elektrik Dongfeng BOX untuk cabaran hole-in-one.
Turut menjadi rebutan ialah hadiah Grand Lucky Draw berjumlah RM20,000, RM5,000 dan RM3,000, selain hadiah kategori Medal A, B, C, Ladies, Senior serta Novelty Prizes.
Pada masa sama, malam kemuncak itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan Yayasan Pekema kepada 10 artis di bawah naungan Karyawan dan beberapa badan kebajikan terpilih.
Antara artis yang menerima sumbangan bantuan sara hidup sebanyak RM3,000 termasuk Jalil Hamid, Dino Nico G, Wan Maimunah, Nazrin Zabidi (pemain bass OAG), Sathiya, S Rohani, Mariati Husin dan Amir Raja Lawak.
Sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan PEKEMA dalam membantu penggiat seni tanah air serta komuniti yang memerlukan, seiring dengan matlamat menjadikan sukan golf sebagai jambatan kebajikan dan perpaduan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram