
PELANCARAN model legenda G-Class versi elektrik ini menandakan episod baharu dalam sejarah SUV mewah tersebut yang sinonim dengan kuasa, gaya dan ketahanan luar biasa.
Pelancaran eksklusif itu berlangsung di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur pada Khamis telah menarik perhatian ramai, termasuk wakil media serta pelanggan VIP yang teruja menyaksikan transformasi ikonik G-Class ke era elektrik, tanpa mengorbankan warisan reka bentuk dan prestasi yang telah terbukti selama lebih empat dekad.
"Hari ini adalah saat luar biasa dan penghormatan bagi kami semua. G 580 elektrik membawa DNA G-Class yang autentik, menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih laju, lebih inovatif dan masih menggenggam objektif asalnya," kata Ketua Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang.
BACA LAGI: Keindahan seni bina Islam, 5 masjid ikonik jadi tarikan lensa kamera
Amanda berkata, G 580 menjadi simbol keberanian Mercedes-Benz untuk menuju masa depan di bawah inisiatif Ambition 2039.
Dilengkapi empat motor elektrik individu pada setiap roda, G 580 menghasilkan 432 kW kuasa (588 hp) dan 1,164 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat.
Dengan jarak perjalanan sehingga 473 km dan kelajuan maksimum 180 km/j, model itu memperkenalkan ciri eksklusif seperti G-Turn (ciri kawalan putaran) serta G-Steering (teknologi pusingan pintar) untuk kawalan ekstrem di permukaan mencabar, termasuk keupayaan menakluki kecerunan 100 peratus serta meredah air sedalam 850 mm.
"Dengan G 580, kami menawarkan pengalaman off-road elektrik sepenuhnya tanpa kompromi. Teknologi terkini digabungkan dengan DNA G-Class untuk memenuhi jangkaan pelanggan yang mahukan keupayaan luar biasa dalam pakej mesra alam," ujar Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Nadia Trimmel.
Bateri litium-ion 116 kWh (kilowatt jam) disepadukan dalam struktur keluli untuk memastikan titik graviti rendah serta ketahanan maksimum di medan lasak.
Pengecasan pula menyokong AC hingga 11 kW dan DC (kuasa arus terus) pantas sehingga 200 kW, yang membolehkan pengisian 10 peratus hingga 80 peratus dalam hanya 32 minit.
Fungsi tambahan seperti Eco Assistant, sistem voltan tinggi keselamatan, serta paparan Offroad Cockpit memberikan sokongan pintar dan selamat kepada pemandu.
Ruang dalaman G 580 menyerlahkan sentuhan mewah dengan sistem infotainmen MBUX generasi baharu, sistem audio premium Burmester 3D surround 18 pembesar suara serta pencahayaan ambien LED eksklusif.
Ruang dalaman G 580 menyerlahkan sentuhan mewah.
Menambah keistimewaan, Mercedes-Benz turut melancarkan edisi terhad Edition One (edisi khas) ditawarkan dalam tiga warna unik iaitu South Sea Blue Magno, Opalite White Magno dan Classic Grey Solid.
Varian itu tampil bersama perincian biru khas pada bahagian dalam dan luar yang boleh disesuaikan melalui program G Manufaktur dengan menawarkan lebih sejuta kombinasi.
Harga permulaan ditetapkan pada RM958,888 untuk varian standard, manakala Edition One bermula dari RM998,888 (termasuk cukai jualan 10 peratus) di Semenanjung Malaysia.
G 580 menandakan episod baharu dalam sejarah SUV mewah tersebut.
Setiap pembelian turut didatangkan dengan wallbox pengecas rumah beserta pemasangan.
"Di Mercedes-Benz, kami komited untuk membentuk masa depan mobiliti melalui inovasi dan kelestarian. G-Class elektrik ini bukan sahaja meneruskan legasi, malah menjadi simbol keberanian kami menuju masa depan di bawah inisiatif Ambition 2039,” jelas Amanda lagi.
"Dari Gunung Sherpa ke jalan-jalan Kuala Lumpur, G-Class kekal lebih kuat daripada masa."
Pelancaran G 580 dengan EQ Technology menandakan era baharu G-Class satu gabungan sempurna antara tradisi, keupayaan dan teknologi masa depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram