Kritik negativiti kapitalisme, pensyarah Unitar ubah teori perniagaan jadi instalasi seni kreatif


  • Bisnes
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Norsafriman menggabungkan unsur perniagaan dan seni termasuk bekerjasama dengan rakan pensyarah untuk menghidupkan tema-tema berkenaan. —Low Lay Phon/The Star

MENUKAR teori perniagaan menjadi seni mungkin kelihatan mustahil, tetapi bagi Norsafriman Abdul Rahman, ia adalah satu realiti.

Didorong oleh keinginan untuk menjadikan kerjanya lebih mudah difahami dan diakses, pensyarah Unitar International University itu mula meneroka cara-cara tidak konvensional untuk berhubung dengan masyarakat.

“Apabila saya mencecah 52 tahun, saya mula terfikir bagaimana saya boleh merumuskan apa yang dipelajari mengenai perniagaan antarabangsa, pemasaran dan semua teori serta prinsip berkaitan,” kata pensyarah jurusan perniagaan itu.

BACA LAGI: Tokoh pelaburan dari Terengganu berjiwa filantropi, sumbang RM1 juta setahun seumur hidup kepada TAR UMT

BACA LAGI: UPSI cipta rekod anjur majlis persaraan pertama bawah laut

A curated art and design exhibition featuring the creative works of lecturers from SMArD and UNITAR College. —Low Lay Phon/The Star

Pameran seni dan reka bentuk tahunan CTRL'25 diadakan di Unitar International University sehingga 15 Ogos. —Low Lay Phon/The Star

Pada tahun 2010, dia mula menceburi seni persembahan sebagai medium menyampaikan konsep-konsep perniagaan seperti konsumerisme dan kapitalisme kepada orang ramai.

Hari ini, Norsafriman terus menggabungkan unsur perniagaan dan seni termasuk bekerjasama dengan rakan pensyarah untuk menghidupkan tema-tema berkenaan.

Hasil karyanya turut dipamerkan dalam pameran yang diadakan di Unitar International University bertajuk Create, Transform, Reflect, Liberate (CTRL’25) di Petaling Jaya, Selangor.

Salah satu karya Norsafriman mengkritik kesan negatif kapitalisme, dengan menggambarkan bagaimana perniagaan tempatan secara beransur-ansur tersisih akibat kemunculan pasar raya besar dan budaya pusat beli-belah.

“Karya saya berkisar tentang orang yang datang dengan modal yang besar. Ia bagus kerana membuka peluang pekerjaan tetapi apa akan jadi kepada kedai runcit? Kemungkinan besar, premis-premis ini terpaksa ditutup,” jelasnya.

Dalam satu lagi instalasi seni, Norsafriman mengetengahkan bahaya tersembunyi di sebalik pembungkusan makanan terutamanya penggunaan istilah teknikal.

Katanya, ada sesetengah pembungkusan menggunakan jargon yang mungkin tidak difahami oleh kebanyakan pengguna.

“Kira-kira 80 hingga 90 peratus bahan yang kita makan, kita sendiri pun tak tahu apa kandungannya. 

"Label bungkusan menggunakan istilah saintifik yang kita tak faham pun,” tambahnya.

A curated art and design exhibition featuring the creative works of lecturers from SMArD and UNITAR College. —Low Lay Phon/The Star

CTRL’25 disertai ahli akademik dari School of Media Art & Design (SMArD) dan Unitar College. —Low Lay Phon/The Star

Dengan pengalaman mengajar selama 26 tahun, Norsafriman menyeru pelajar untuk mendalami ilmu merentasi pelbagai disiplin dan menggunakan asas itu untuk menghasilkan karya seni bermakna dan mencetuskan pemikiran.

“Mereka perlu ada pengetahuan asas tentang sejarah, sains, falsafah dan etika. Apabila mereka ada semua ilmu ini, mereka boleh cipta sesuatu yang berguna, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk masyarakat,” kongsinya.

Pensyarah animasi, Elaine Loh Ee Ling pula mempamerkan showreel animasinya di CTRL’25, yang memaparkan perjalanan kreatif dirinya dengan mencerminkan pertumbuhan teknikal dan ketabahan peribadi.

“Ada babak yang siap dengan mudah, tapi ada juga yang ambil masa lama untuk semakan dan maklum balas. 

"Setiap babak adalah peluang untuk tonjol kebolehan kita dan bagaimana kita berkembang dengan terus bersikap terbuka serta sentiasa berusaha untuk jadi lebih baik,” kata Loh.

Pensyarah reka bentuk fesyen, Suhaimi Shapii pula mempamerkan jaket trek berteknologi digital, yang menurutnya mencerminkan masa depan fesyen, di mana gaya urban, fungsi atletik dan kemahiran digital bersatu.

“Dengan mengintegrasikan alat digital dalam proses kreatif, reka bentuk ini meraikan inovasi, kepantasan dan kelestarian,” katanya.

CTRL’25 ialah pameran seni dan reka bentuk tahunan yang menyerlahkan kecemerlangan kreatif kalangan ahli akademik dari School of Media Art & Design (SMArD) dan Unitar College.

Menyifatkan CTRL’25 lebih daripada sekadar pameran, Naib Canselor Unitar International University, Emeritus Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya berkata, ia adalah platform dinamik di mana kreativiti berkembang, hubungan terjalin dan inspirasi tercetus.

Pameran tersebut berlangsung di Unitar dan dibuka kepada orang awam sehingga 15 Ogos. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram