Program amal kutip lebih RM200,000 cetus minat graduan politeknik berniaga, kini tauke kedai wafel


  • Bisnes
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Lutfil pernah menimba pengalaman berniaga di bazar sebelum membuka kafe. — Ihsan Lutfil Hadi

PEMBABITAN dalam sebuah projek amal memutikkan minat Lutfil Hadi Mohammad Razif, 32, terhadap bidang perniagaan.

Ketika itu, dia yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS), tergerak untuk mengumpul dana buat penuntut Politeknik Temasek di Singapura yang kurang berkemampuan.

Dia bersama rakan-rakannya kemudian bertekad berbuat demikian dengan menjual baju mahupun beberapa cenderamata.

"Itu idea saya sendiri. Saya juga mahu menjual baju TP yang lebih lawa kerana baju yang disediakan sekolah waktu itu agak ketinggalan zaman," seloroh Lutfil.

BACA LAGI: Influencer Kedah perkenal durian 'single-origin' Malaysia, eksport jualan ke China jana lebih RM11 juta

BACA LAGI: Masyuk jual minyak masak terpakai, cek sini 7 tempat boleh kitar semula, 'door-to door collection' pun ada!

Lutfil (kanan) bersama rakan-rakan yang membantunya menjual baju di Politeknik Temasek. — Ihsan Lutfil Hadi

Cetusan ilham untuk menghasilkan baju TP yang lebih menarik, menggantikan rekaan lama ternyata membuahkan hasil apabila tanpa disangka-sangka, dia dan rakan-rakannya mendapat permintaan tinggi.

Rancangan asal menjual 100 helai kemeja-T, berakhir dengan permintaan melebihi 5,000 helai dengan jumlah terkumpul sebanyak S$75,000 (kira-kira RM248,705).

Lebih menarik, Lutfil dan rakan-rakannya tidak membelanjakan sebarang kos kerana tempahan baju dan barangan dibuat selepas menerima pembayaran.

"Dari situ saya mula berminat untuk menceburi bidang perniagaan. Pengalaman itu tidak boleh dibeli dengan mata wang," cerita Lutfil.

Lutfil juga memiliki kisah tersendiri apabila menolak untuk meneruskan pengajian ke menara gading meskipun sudah ditawarkan tempat untuk mengikuti jurusan Sistem Maklumat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Lutfil sanggup 'terbang' hingga ke Belgium untuk mempelajari rahsia membuat wafel yang sempurna. — Ihsan Lutfil Hadi

Bergelar ketua keluarga, dia sebenarnya berbuat demikian demi mencari nafkah buat ibu dan ayah serta kakaknya.

Belum berumah tangga, Lutfil berkata, dia perlu menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia dan seorang kakak yang didiagnosis dengan autisme sederhana. 

"Itu adalah komitmen yang sangat besar. Jadi, apabila anda mempunyai komitmen seperti itu, anda tidak boleh mudah berputus asa," katanya.

Ramai beranggapan modal besar adalah kunci kejayaan dalam perniagaan, namun Lutfil menolak tanggapan tersebut. 

 

 

Baginya, strategi yang mantap dan sokongan daripada kenalan yang percaya pada visi dan jenama jauh lebih penting.

Lutfil berjaya mendapatkan pelaburan daripada rakan-rakan yang yakin dengan perjalanan perniagaannya, membolehkannya memulakan perniagaan tanpa mengeluarkan wang sendiri. 

Justeru, pada 2022, Lutfil membuka kafe Waffl di Jurong East bersama rakannya, Joshua Chan.

Kafe itu menawarkan pelbagai hidangan wafel, gelato, brownies dan minuman, dengan Lutfil sendiri mencipta menu dan memastikan kualiti produk sentiasa terjaga.

Dedikasi Lutfil membawanya 'terbang' hingga ke Belgium untuk mempelajari rahsia membuat wafel yang sempurna. 

Hasil kajian dan pembangunan selama enam bulan membuahkan produk berkualiti tinggi, termasuk penggunaan mentega dengan kandungan lemak tinggi untuk menghasilkan wafel lembut dan enak.

Salah satu inovasi menarik di Waffl ialah ‘Waffl Burger’, hidangan ‘savoury’ yang dihasilkan selepas mendengar maklum balas pelanggan yang mahukan pilihan selain pencuci mulut manis.

‘Waffl Burger’ antara inovasi menarik selepas mendapat permintaan pelanggan yang mahukan pilihan selain pencuci mulut manis. — Ihsan Lutfil Hadi

Hampir tiga tahun beroperasi, Waffl berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan penduduk setempat dengan 80 peratus pelanggan adalah pelanggan tetap. 

Kongsi Lutfil, dia mampu menjana pendapatan bulanan mencecah lima angka.

“Alhamdulillah, orang semakin mengenali kami dan pelanggan sering membawa rakan-rakan serta keluarga mereka,” kongsi Lutfil dengan penuh kesyukuran.

Berdasarkan pengalaman luas dalam dunia perniagaan, Lutfil berkongsi beberapa pesanan penting khususnya kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang perniagaan.

“Masa terbaik untuk berniaga adalah ketika anda belum mempunyai komitmen besar dan risiko masih rendah.

"Jangan harap perniagaan pertama anda akan berjaya. Gunakan setiap kegagalan sebagai pengalaman dan pengajaran, jangan mudah berputus asa,” pesannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram