Strategi Omnichannel antara punca FashionValet gagal, PAC kemuka syor tambah baik pelaburan Khazanah Nasional


  • Bisnes
  • Khamis, 21 Ogos 2025

FashionValet diasaskan oleh Vivy dan suaminya, Fadza. — Gambar hiasan

KEGAGALAN pelaburan Khazanah Nasional Berhad dalam syarikat e-dagang FashionValet disebabkan syarikat berkenaan mengambil pendekatan strategi Omnichannel yang berisiko.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di Parlimen pada Khamis.

PAC menyenaraikan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kerugian tersebut serta empat syor penambahbaikan penting untuk mengukuhkan strategi dan ketelusan pelaburan masa hadapan.

BACA LAGI: Khazanah, PNB beri penjelasan penjualan saham FashionValet

BACA LAGI: Syarikat jadi punca kerugian RM43.9 juta, Vivy Yusof dan Fadza mohon maaf, undur diri daripada FashionValet

Berikut adalah faktor kegagalan FashionValet seperti yang dibentangkan PAC:

1. Pelaburan Berisiko Tinggi: Strategi Omnichannel Gagal

PAC mendapati strategi Omnichannel yang diambil oleh FashionValet yang diasaskan pasangan usahawan, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, adalah berisiko tinggi, dan menjadi punca utama kegagalan pelaburan.

Strategi itu cuba menggabungkan pengalaman jual beli secara fizikal dan digital, namun tidak berjaya menarik pulangan seperti diharapkan.

Vivy (kanan) dan suaminya, Fadza bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan pelaburan dihadapi Khazanah Nasional. — Gambar hiasan

2. Kesan Covid-19 & Perubahan Pasaran Pengguna

Kejutan luar jangka seperti pandemik Covid-19 dan perubahan drastik dalam tingkah laku pengguna selepas pandemik turut menyumbang kepada kerugian.

Senario pasaran pasca pandemik tidak berpihak kepada model perniagaan FashionValet, sekali gus menjejaskan prestasi pelaburan.

3. Konflik Mandat

PAC juga menyentuh ketidaksejajaran antara dua mandat Khazanah iaitu menjana pulangan komersial dan berperanan sebagai instrumen pembangunan negara.

Ini mewujudkan dilema antara keuntungan dan keperluan nasional, yang boleh menjejaskan kejelasan strategi pelaburan.

4. Kekurangan SOP Pascanilai untuk Pelaburan Rugi

Satu isu ketara ialah ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) bagi menilai pelaburan yang mengalami kerugian besar selepas dilupuskan.

Tanpa proses penilaian selepas kegagalan, sukar untuk mengenal pasti punca dan membuat penambahbaikan.

PAC mengemukakan lima syor penambahbaikan untuk memperkukuh pelaburan masa depan Khazanah:

1. Pendidikan Awam Mengenai Modal Teroka

Khazanah perlu proaktif mendidik rakyat tentang pelaburan modal teroka yang memang berisiko tinggi melalui laporan tahunan, kenyataan media, dan platform digital.

Khazanah disyorkan untuk meningkatkan analisis senario terhadap faktor bukan kewangan seperti pandemik. — Gambar hiasan

2. Wujudkan SOP untuk Analisis Pascanilai

Setiap pelaburan yang rugi melebihi paras tertentu perlu melalui proses analisis menyeluruh. Laporan ini mesti dibentangkan kepada Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Audit untuk akauntabiliti.

3. Kuatkan Analisis Risiko Pasaran Bukan Kewangan

Khazanah perlu tingkatkan analisis senario terhadap faktor bukan kewangan seperti pandemik, perubahan teknologi dan tingkah laku pengguna agar lebih bersedia untuk keluar awal dari pelaburan bermasalah.

4. Laporan Prestasi Lebih Komprehensif kepada Kementerian Kewangan

Khazanah perlu memperluas laporan suku tahunan kepada Kementerian Kewangan, bukan hanya laporan kewangan tetapi juga prestasi strategik pelaburan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram