
DALAM sukan golf, terdedah di bawah terik matahari selama berjam-jam sudah menjadi rutin harian terutama bagi pemain wanita yang perlu mengharungi latihan dan pertandingan di padang terbuka.
Namun, pendedahan berpanjangan itu bukan sahaja menguji stamina dan fokus, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan kulit termasuk risiko kerosakan akibat sinaran UV.
Bagi pemain golf muda Thailand iaitu Namo Luangnitikul, pesanan ibunya untuk sentiasa menjaga kulit menjadi antara nasihat yang paling dipegang sejak menceburi sukan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Tuah pertama kali main di Malaysia, Kritchanya mahu fokus Maybank Championship 2025
Berasal dari Phuket dan mula bermain golf sejak berusia enam tahun, remaja berusia 16 tahun itu mengakui ibunya memainkan peranan besar dalam membentuk disiplin dirinya, termasuk aspek kecantikan dan kesihatan kulit.
“Setiap kali saya berlatih atau bertanding di bawah terik matahari selama lima hingga enam jam, ibu akan pesan, ‘Namo, pakai sunscreen, pakai sarung lengan, jaga kulit’.
"Lepas pulang, dia (ibu) akan ingatkan untuk sapu krim dan aloe vera,” katanya kepada Majoriti.
Namo ketika muncul juara Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 pada Julai lepas. — Instagram/Namo
Namo yang sebelum ini turut aktif bermain tenis berkata, selain mengutamakan perlindungan daripada cahaya matahari, dia juga mendapatkan rawatan pakar dermatologi bagi menangani masalah kulit berjerawat.
Rutin penjagaan juara Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 itu juga termasuk menggunakan pencuci muka khas dan produk rawatan malam yang diberikan doktor.
“Saya jenis kulit berjerawat, jadi saya ikut rutin rawatan yang diberikan doktor seperti pencuci muka dan krim malam,” jelas pemain tinggi lampai berkenaan.
Dari segi fesyen di padang golf pula, remaja berusia 16 tahun itu lebih selesa mengenakan seluar panjang atau seluar pendek berbanding skirt, asalkan pakaian tidak menghalang pergerakannya semasa bermain.
Dalam pada itu, Namo juga berkongsi nasihat kepada pemain wanita muda lain bahawa mereka tidak seharusnya takut dengan matahari jika ingin serius dalam sukan ini.
“Memang akan terdedah dengan panas, tapi golf adalah sukan yang hebat. Ramai pemain wanita hebat di luar sana yang jadi inspirasi,” ujarnya.
Untuk info, Namo pada Rabu berhasil menghuni kedudukan cetiga dengan 144 pukulan, par bagi pusingan Kelayakan Asean Kejuaraan Maybank 2025 pada Rabu di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Kuala Lumpur.
Rakan senegaranya, Kritchanya Kaopattanaskul pula muncul juara dengan catatan 137 pukulan, tujuh-bawah-par, mengatasi rakan senegara Achiraya Sriwong yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 139 pukulan, lima-bawah-par. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram