
RAMAI yang mahu hidup bebas hutang, tapi tak tahu nak mula dari mana. Rasa serabut bila tengok jumlah hutang yang pelbagai dari kad kredit, kereta, pinjaman peribadi, pembiayaan rumah, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), malah hutang kawan pun ada.
Pelatih Kewangan Islam, Khairul Azizah menerusi laman Threads berkongsikan formula S-N-O-W-B-A-L-L iaitu satu teknik pengurusan hutang yang dapat membantu anda fokus dalam melangsaikan bebanan kewangan menggunakan kaedah ringkas.
Beliau turut berkongsikan contoh mengurus hutang dengan gaji bersih RM2,500 sebulan supaya ramai lebih faham cara mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
BACA LAGI: Pereka fesyen, suri rumah tonjol idea kreatif siapkan tempahan baju, aksesori tema Merdeka
Berikut 8 langkah mudah berdasarkan formula S-N-O-W-B-A-L-L:
1. S – Senaraikan Semua Hutang
Ambil masa duduk dan tulis semua hutang yang ada seperti kad kredit, PTPTN, hutang peribadi, hutang kawan, kereta dan sebagainya. Jangan sembunyikan apa-apa walaupun nilainya kecil. Langkah pertama untuk selesaikan hutang ialah tahu siapa yang kita berhutang dan berapa jumlahnya.
Tulis semua hutang yang ada seperti kad kredit, PTPTN, hutang peribadi, hutang kawan, kereta dan sebagainya. — Gambar hiasan
2. N – Nilai Kadar Faedah/ Keuntungan
Semak kadar faedah atau keuntungan (bagi pembiayaan Islamik) setiap hutang. Hutang kad kredit biasanya paling tinggi faedahnya, jadi kenal pasti hutang mana yang 'makan' duit anda paling banyak. Ini penting untuk strategi jangka panjang dan bantu anda susun keutamaan.
3. O – Organisasikan Hutang Ikut Baki Terkecil
Susun hutang daripada baki paling kecil hingga paling besar. Fokus kaedah S-N-O-W-B-A-L-L ialah langsaikan hutang terkecil dahulu. Apabila satu hutang selesai, anda akan lebih bermotivasi untuk teruskan ke hutang seterusnya.
4. W – Wajib Bayar Minimum Semua Hutang
Jangan abaikan bayaran minimum walaupun anda sedang fokus pada satu hutang. Ini penting supaya tak dikenakan penalti atau denda lewat bayar. Pastikan semua komitmen berjalan seperti biasa.
5. B – Bayar Lebih Pada Hutang Terkecil Dahulu
Contoh: Jika anda ada 3 hutang: A: RM800, B: RM3,000, C: RM10,000. Fokus bayar lebih pada A dahulu sambil kekalkan bayaran minimum B dan C. Selepas hutang A selesai, salurkan lebihan bayaran kepada B pula. Ulang proses ini sehingga semua hutang langsai. Jika ada lebihan tunai selepas tolak komitmen bulanan, gunakan lebihan itu untuk percepatkan bayaran hutang yang paling hampir selesai.
6. A – Automatikkan Bayaran
Gunakan kaedah auto-debit untuk bayar hutang secara automatik. Ini bantu anda disiplin dan elak terlepas tarikh. 'Set & forget' tapi tetap pantau dari semasa ke semasa.
7. L – Lacak Perkembangan
Buat tracking berkala untuk melihat berapa jumlah dah dibayar, berapa baki tinggal, berapa hutang yang dah selesai. Setiap kali selesai satu hutang, raikan pencapaian itu! Ia akan boost semangat anda untuk teruskan.
8. L – Latih Diri Elak Hutang Baru
Jangan tambah hutang baru selagi yang lama belum selesai. Kad kredit? Simpan dulu dalam laci. Belanja ikut kemampuan, bukan ikut nafsu.
Dengan memberikan contoh gaji bersih: RM2,500, Khairul Azizah menyenaraikan anggaran komitmen bulanan secara realistik untuk dirujuk antara pinjaman kereta, pimjaman peribadi dan lain-lain.
Berikut contoh pecahan perbelanjaan komitmen bulanan semasa:
Pinjaman Kereta: RM500 (baki RM25,000)
PTPTN: RM150 (baki RM15,000)
Pinjaman Peribadi: RM200 (baki RM20,000)
Kad Kredit: RM150 (baki RM3,000)
Ibu Bapa: RM300
Belanja Peribadi: RM500
Utiliti & Pengangkutan: RM400
Jumlah Komitmen: RM2,200
Baki Gaji: RM300
"Anda boleh gunakan baki gaji untuk tambah bayaran bulanan kad kredit RM50 menjadikan RM200 sebulan sehingga baki kad kredit selesai.
"Syaratnya jangan guna kredit kad tersebut sebaliknya fokus bayar sahaja. Apabila kad kredit tersebut dah habis bayar dan zero balance, sila pulangkan kad kredit berkenaan ke bank.
'Dari situ baki gaji dah bertambah dan anda boleh buat bajet untuk gunakan baki tersebut bagi melunaskan hutang yang lain pula," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram