
SEBUAH projek pembangunan pusat data di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dekat Iskandar Puteri menjadi projek pertama di Johor yang diarah menghentikan kerja serta-merta selepas didapati melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Arahan itu dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, selepas beliau mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek berkenaan pada Khamis.
Menurutnya, tindakan tegas itu diambil susulan aduan penduduk sekitar yang mendakwa kerja pembinaan projek tersebut menimbulkan gangguan seperti jalan kotor, ketiadaan pagar penghadang dan aktiviti pembinaan yang berlanjutan hingga lewat malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Bermotifkan cemburu, pengurus bank diculik, dibunuh selepas rapat dengan rakan sepejabat
BACA LAGI: Ibu Zara Qairina tidak pernah minta sebarang kutipan derma bayar peguam, khidmat secara pro bono
“MBIP diarahkan mempertingkat pemantauan dan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sekiranya terdapat pelanggaran syarat.
“Kontraktor juga diwajibkan melaksanakan lima syarat utama dalam tempoh dua minggu termasuk menghentikan sementara kerja pembangunan, memasang pagar penghadang, tidak menjalankan kerja pada waktu malam serta memastikan kebersihan jalan dan kawasan perumahan tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Jafni yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai menegaskan semua pembangunan pusat data di Johor perlu mematuhi garis panduan ketat dan melalui proses penilaian Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) serta Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).
Bagi projek pusat data terbabit, permohonan telah diteliti sejak 2023, dengan kelulusan susun atur pembangunan diberikan pada Jun lalu, diikuti kelulusan Kebenaran Merancang pada Julai.
“Semua syarat teknikal, keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah mandatori untuk dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju,” tegasnya yang turut memuat naik satu video memaparkan beliau bersama pegawai yang lain melawat tapak projek berkenaan.
Dalam video berdurasi seminit lebih itu turut memaparkan beliau meninggikan suara memarahi seorang individu dipercayai kontraktor kerana tidak mengikutkan sayarat pembinaan yang telah ditetapkan.
Tindakan tegas Mohd Jafni itu turut menerima pujian penduduk dan warga maya yang menyifatkannya sebagai wakil rakyat prihatin.
Seorang pengguna media sosial, Aidil Razak berkata, tindakan tersebut menunjukkan keprihatinan seorang pemimpin yang benar-benar turun padang.
“Aduh, takkan semua benda nak harapkan Yang Berhormat (YB). Penatlah macam ni, nak kena turun padang baru nak bertindak. Moga dipermudahkan urusan YB dan semoga diberkati ALLAH,” tulisnya.
Sementara itu, Zul Halim Baharom pula memuji langkah tegas kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan rakyat.
“Terbaik YB! Inilah wakil rakyat yang kami mahu, sentiasa mendengar suara rakyat. Teruskan perjuangan membela nasib rakyat Johor,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram