
PELANCONGAN domestik bakal menjadi tumpuan ramai menerusi pelancaran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM), hasil kerjasama strategik antara Star Media Group (SMG) dan Tourism Malaysia.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, penganjuran SKCCM menawarkan kelainan kerana buat julung-julung kali menjalinkan kerjasama dengan entiti media.
Menurutnya, SKCCM juga akan menjelajah ke enam lokasi di seluruh Malaysia meliputi Kuantan, Pahang; George Town, Pulau Pinang; Johor Bahru, Johor; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
BACA LAGI: Pereka fesyen, suri rumah tonjol idea kreatif siapkan tempahan baju, aksesori tema Merdeka
Sekitar Majlis Pelancaran SKCMM di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat. — AZMAN GHANI/The Star
"Menerusi kerjasama ini, kami yakin siri jelajah ke enam lokasi tersebut dapat memastikan keterlibatan lebih ramai masyarakat di seluruh pelosok negeri.
"Penganjurannya juga diharap menyemarakkan semula industri pelancongan negara serta menggerakkan momentum menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)," katanya selepas Majlis Pelancaran SKCMM di Menara Star, Petaling Jaya pada Jumaat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Chan Seng Fatt dan Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group, Datin Paduka Esther Ng serta Ketua Pegawai Operasi Star Media Group, Lydia Wang.
Sementara itu, Seng Fatt menerusi ucapannya berkata, jelajah SKCCM ke enam lokasi berkenaan menyasarkan lebih 200,000 pengunjung secara fizikal dan jutaan lagi melalui platform media sosial.
Beliau berkata, melalui siri jelajah itu juga, pihaknya berhasrat memainkan peranan mengekalkan momentum positif dalam sektor pelancongan domestik negara yang menunjukkan prestasi memberangsangkan pada 2024.
Katanya, jumlah perbelanjaan pelancong tempatan mencecah RM106.7 bilion, meningkat 25.6 peratus berbanding RM84.9 bilion pada 2023.
Angka-angka itu, jelasnya lebih daripada sekadar statistik. Ia mencerminkan kelangsungan pemain industri seperti operator hotel, peniaga gerai, pemandu pelancong dan semua dalam rantaiannya.
"Justeru, menerusi SKCCM, kami berhasrat untuk memainkan peranan dalam mengekalkan momentum ini dengan menarik kehadiran pengunjung dan perbelanjaan di negeri-negeri penganjur, sekali gus menjana pendapatan langsung kepada ratusan vendor dan pengusaha pelancongan tempatan.
"Selain itu, kami mahu menonjolkan perusahaan kecil dan mikro, memberi mereka akses kepada ribuan pelanggan baharu serta saluran pengedaran yang lebih luas.
"Kami juga ingin mempromosikan itinerari pelancongan domestik yang memanjangkan tempoh penginapan, sekali gus merancakkan perbelanjaan penginapan, makanan dan aktiviti," katanya.
Beliau berkata, SKCCM dijangka dapat menarik lebih 200,000 pengunjung secara fizikal dan mencapai jutaan lagi masyarakat melalui platform media sosial.
SKCCM akan menemui pengunjung di lokasi dan tarikh berikut:
Kuantan City Mall, Kuantan (19–21 September 2025)
Imago Mall, Kota Kinabalu (10–12 Oktober 2025)
Plaza Merdeka, Kuching (17–19 Oktober 2025)
Gurney Paragon, George Town (31 Oktober–2 November 2025)
Paradigm Mall Convention Centre, Johor Bahru (7–9 November 2025)
Dengan pelancaran rasmi maskot VM2026 iaitu Wira dan Manja, karnival SKCCM memberi penekanan kepada konsep mesra keluarga sebagai destinasi hujung minggu yang menyeronokkan dan bermakna.
Seiring dengan SKCCM ialah program The Great Outdoor Expo, sebuah pameran yang meraikan eko-pelancongan, rekreasi dan aktiviti lasak.
Antara tarikan termasuk zon ujian kenderaan 4x4, kenderaan rekreasi (RV), demonstrasi kenderaan tentera serta aktiviti lasak seperti panjat dinding, flying fox, abseiling dan pencarian harta karun.
Pameran yang bakal berlangsung di MAEPS Serdang pada 3 hingga 5 Oktober 2025 itu turut menampilkan pengusaha pelancongan seperti glamping, sukan air dan selam skuba, manakala kanak-kanak boleh menyertai pertandingan mewarna, larian santai dan zoo mini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram