
BAGI mereka yang pernah mencuba melosel, rasanya diibaratkan manis dan rangup seperti epal.
Meloses ialah sejenis melon yang dibangunkan khas untuk negeri Selangor.
Untuk mempromosikan buah unik itu, Jabatan Pertanian Selangor menganjurkan acara Hari Melon Kuala Langat selama dua hari di Banting.
BACA LAGI: Ramai cari penawar panas dalam, jualan 'coconut shake' dan air herba di Penang laku keras
Acara yang julung-julung kali diadakan itu diadakan di Pusat Pertanian Kampung Endah, lokasi ladang melosel terbesar dengan kira-kira 10,000 pokok.
Pengunjung dibenarkan masuk ke kawasan plot fertigasi untuk memetik sendiri buah melosel dengan harga promosi hanya RM10 sekilogram.
Pelbagai gerai turut memeriahkan acara itu dengan menawarkan produk berasaskan melon seperti aiskrim, jus, kopi, kuih tradisional dan jeruk.
Inovasi jeruk melon muda ciptaan Syed Muhammad Amirudin berjaya meraih dua anugerah inovasi. — Grace Chen/ The Star
Idea menghasilkan jeruk itu datang daripada Syed Muhammad Amirudin Syed Dawal yang mahu memanfaatkan buah yang belum ranum dan tidak memenuhi standard kualiti.
Usaha inovatifnya itu berjaya meraih dua anugerah inovasi.
Mengulas mengenai asal usul meloses, Datuk Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, menyifatkan ia sebagai 'bayi' beliau sendiri.
Menceritakan kembali bagaimana ia bermula, Izham berkata, setelah dilantik sebagai anggota exco negeri pada 2018, beliau bertemu Chua Kim Aik, pakar benih dari Batu Arang.
Chua merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Green World Genetics (GWG) Sdn Bhd, satu-satunya syarikat tempatan yang menjalankan penyelidikan benih tanaman di negara ini.
“Saya beritahu yang saya mahukan benih melon khas untuk Selangor, dengan isi buah berwarna jingga kerana secara psikologi, warna itu membangkitkan selera.
Aiskrim berasaskan melon menambat hati pengunjung cilik. — Grace Chen/ The Star
"Saya juga mahukan buah yang manis, harum dan kulit luarnya berwarna kuning agar kelihatan unik,” kata Izham.
Chua meminta tempoh dua tahun untuk membangunkan benih itu, dengan pelbagai penanaman dilakukan bagi memastikan ketahanan dan kualiti benih tersebut.
“Akhirnya Chua menghubungi kami memaklumkan dia sudah ada beberapa klon sedia untuk dipilih.
"Dari segi tekstur, ada dua jenis — satu lembut seperti Yubari melon, satu lagi rangup dan kami pilih yang rangup,” jelas Izham.
Benih tersebut dilancarkan secara rasmi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga memberi nama 'melosel' kepada buah berkenaan.
Pada 2023, hasil penanaman benih pertama meliputi 500 biji di Ladang Melon Selangor, Sungai Besar berjaya dituai selepas menunggu kira-kira dua bulan.
Isi buah melosel berwarna jingga, memiliki rasa manis dan rangup dengan kulit luarnya berwarna kuning. — Grace Chen/ The Star
Projek tersebut dilaksanakan di bawah Projek Penanaman Kawasan Sabak Bernam, dan menjadi titik permulaan penanaman melosel dibuat secara komersial menggunakan kaedah pertanian pintar oleh usahawan tempatan.
“Setakat ini, melosel dikategorikan sebagai buah premium dan dijual pada harga pasaran RM15 sekilogram, paling mahal antara melon lain yang ditanam di negara ini,” kata Izham.
Ditanya sama ada buah itu sedia untuk pasaran eksport, beliau menyatakan bahawa ia hanya akan dipertimbangkan selepas pengeluaran mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan.
Kini, jenama melosel telah digazetkan, bermakna ia hanya boleh ditanam di Selangor.
Sementara itu, Pengarah Urusan KMK Agro Global Produk, Kamarul Iqbal Ismail yang mengusahakan ladang melosel di Pusat Pertanian Kampung Endah, memberitahu bahawa pengeluaran melosel bakal dipertingkatkan.
"Kita jangka pengeluaran meningkat kepada 30,000 pokok untuk musim penanaman akan datang," katanya. — The Star/ GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram