Tular caj RM1,016 sejauh 2.9 km, Grab respons isu gangguan sistem


  • Massa
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan harga tambang yang dipaparkan di aplikasi Grab tidak masuk akal.

TULAR di media sosial baru-baru ini mengenai caj perkhidmatan e-hailing Grab yang didakwa mencecah lebih RM1,000 bagi perjalanan sejauh kurang tiga kilometer di ibu negara.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna Facebook, Ken C Blegedes, yang meluahkan rasa terkejut apabila mendapati harga perjalanan dari Dataran Merdeka ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) mencecah RM1,016 bagi kategori Standard (JustGrab).

Perjalanan berkenaan yang dikatakan biasanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja itu melibatkan jarak hanya 2.9 kilometer, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan caj tersebut sebagai tidak masuk akal dan mencekik darah.

BACA LAGI: [VIDEO] Kes anak panah tembus kereta: Aduan dibuat terhadap MSN Pulau Pinang, latihan memanah dihentikan

BACA LAGI: [VIDEO] JDT perlukan khidmat Safawi, striker kelab Borneo tundukkan kelab Singapura 7 tahun lalu

Grab memaklumkan bahawa mereka berdepan dengan gangguan sistem.

Tangkapan skrin paparan harga tersebut menjadi tular di media sosial, dengan ramai pengguna lain turut berkongsi pengalaman serupa melibatkan caj luar biasa tinggi dalam aplikasi Grab.

Susulan penularan itu, pihak Grab tampil memberi penjelasan menerusi ruangan komen, memaklumkan bahawa masalah berkenaan berpunca daripada gangguan teknikal sistem.

“Kami baru-baru ini mengesan masalah sistem sementara yang mungkin menyebabkan harga yang dipaparkan dalam aplikasi kami menjadi tidak tepat.

“Namun begitu, masalah tersebut telah pun diperbaiki dan semuanya kini kembali seperti sediakala. Terima kasih atas kesabaran anda, dan kami berharap anda sudi mencuba semula tempahan atau pesanan anda,” katanya.

Semakan terkini menunjukkan harga ke destinasi berkenaan kembali stabil dengan tambang yang lebih berpatutan meskipun perubahan dapat disaksikan dari semasa ke semasa mengikut aliran trafik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram