[VIDEO] Putrajaya berhantu? Tular rakaman sesi rukyah lepas kecoh dakwaan kelibat wanita berambut panjang


  • Tular
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam merenjis air ke sekitar koridor pejabat berkaitan.

SEBUAH video yang tular di media sosial sejak Selasa mencetuskan pelbagai reaksi apabila memaparkan satu sesi rukyah dijalankan di salah sebuah bangunan kerajaan di Putrajaya.

Rakaman yang tular di laman Threads  itu menunjukkan seorang individu dipercayai ustaz dari pusat rawatan Islam Darussyifa’ sedang menjalankan upacara rukyah sebagai ikhtiar menangani gangguan makhluk halus yang didakwa berlaku di bangunan berkenaan.

Menerusi klip video yang tersebar, kelihatan seorang lelaki berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam sedang merenjis air ke sekitar koridor pejabat berkaitan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kes anak panah tembus kereta: Aduan dibuat terhadap MSN Pulau Pinang, latihan memanah dihentikan

BACA LAGI: Tular caj RM1,016 untuk perjalanan 2.9 km, Grab respons isu gangguan sistem

Turut kedengaran ayat ruqyah dipasang dengan kuat di pejabat tersebut ketika sesi 'pembersihan' berlangsung.

Situasi lebih menyeramkan apabila papan tanda laluan kecemasan yang digantung pada siling pejabat bergoyang dengan sendiri, seolah-olah menunjukkan kehadiran entiti makhluk halus tersebut.

Difahamkan, sesi rukyah itu dilakukan susulan aduan dan laporan daripada kakitangan bangunan tersebut yang mengalami pengalaman aneh dan tidak dapat dijelaskan secara logik, termasuk gangguan misteri sewaktu bekerja. 

Menurut maklumat yang dikongsi bersama video tersebut, pihak pengurusan bangunan bertindak memanggil pakar perubatan Islam bagi menjalankan 'sesi pembersihan' dan memagar kawasan premis agar bebas daripada gangguan berulang.

Lebih menggerunkan, kelibat seorang wanita berambut panjang dipercayai entiti ghaib, muncul di kawasan pejabat.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian misteri berkenaan dan tidak dapat dipastikan tentang kesahihannya.

Bagaimanapun, video tersebut telah menarik perhatian warga maya yang rata-rata berkongsi pengalaman serupa serta memuji tindakan pihak terbabit yang mengambil pendekatan alternatif untuk menangani isu gangguan tidak normal di tempat kerja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram