[VIDEO] 'Trek joging disangka litar lumba', DBKK tegur ‘rider’ langgar peraturan di Taman Teluk Likas


  • Massa
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu menunggang motosikal di atas trek joging taman Teluk Likas di Sabah.

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil maklum berhubung penularan sebuah video di media sosial pada 18 Ogos lalu yang memaparkan tindakan sekumpulan individu menunggang motosikal di atas trek joging di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut kenyataan DBKK di Facebook, tindakan tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan jelas melanggar peraturan yang ditetapkan di semua taman awam bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu, yang melarang penggunaan motosikal atau sebarang kenderaan bermotor di laluan joging dan berbasikal.

“Taman awam merupakan kawasan riadah utama bagi warga bandar raya Kota Kinabalu, digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

BACA LAGI: [VIDEO] Pelajar wanita tak sedar 5 minit lawan arus di Johor, ujian kencing negatif dadah, alkohol

BACA LAGI: Kes Zara: Mahu hukuman lebih berat, peguam mohon tangguh pendakwaan 5 suspek

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan secara berhemah,” katanya.

DBKK memaklumkan bahawa papan tanda peraturan telah dipasang di sepanjang kawasan taman berkenaan sebagai panduan kepada pengunjung, termasuk larangan terhadap kenderaan bermotor di trek rekreasi.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan dan keselesaan semua pihak.

“Sikap sambil lewa dan kegagalan mematuhi peraturan bukan sahaja boleh merosakkan kemudahan awam, malah turut mengundang risiko bahaya kepada pengguna lain,” jelas kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah rakaman video yang menunjukkan sekumpulan individu menunggang motosikal di atas trek joging taman berkenaan, sekali gus mencetuskan kecaman netizen yang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram