Bukan saja polis, ada lagi unit uniform tak perlu pakai tali pinggang keledar tetapi bersyarat


  • Massa
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Anggota beruniform boleh diberi pengecualian daripada memakai tali pinggang keledar dalam situasi tertentu.

UNDANG-UNDANG jalan raya dalam negara berhubung pemakaian tali pinggang kenderaan sememangnya cukup ketat kerana pesalah boleh dikenakan hukuman dalam bentuk denda.

Berdasarkan peraturan semasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengenakan denda RM300 mengikut Kesalahan Kaedah 4 & 4A Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) jika pemandu gagal memakai tali pinggang keledar.

Undang-undang itu sememangnya tepat kerana kegagalan memakai alatan keselamatan itu boleh mengundang kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tali pinggang keledar: Takut polis atau demi keselamatan?

BACA LAGI: [VIDEO] Ikat dan klip topi keledar dengan betul semasa menunggang meskipun jarak destinasi dekat

Pemakaian tali pinggang keledar dapat mengurangkan risiko kecederaan serius jika kemalangan berlaku.

Namun, persoalan mula timbul sama ada peraturan sama turut dikenakan terhadap anggota penguat kuasa, termasuk dalam kalangan polis yang kadang-kala didapati tidak memakai tali pinggang keledar ketika sedang bertugas.

Kelonggaran diberikan terhadap anggota beruniform sememangnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai yang berasakan terdapat sikap pilih kasih dari segi pelaksanaan undang-undang.

Tampil menjawab berhubung perkara itu, seorang anggota polis, Wan Faizal Wan Azman menerusi laman Facebook menjelaskan kelonggaran tersebut hanya diberikan berdasarkan situasi.

"Polis tak pakai tali pinggang? Bukan sebab 'kebal undang-undang', tapi kerana undang-undang beri pengecualian semasa operasi. Jika sedang kejar penjenayah, boleh tidak pakai tetapi jika sedang 'kejar keropok lekor', perlu dipakai semula," katanya.

Kegagalan memakai tali pinggang keledar boleh mengundang risiko disaman pihak berkuasa.

Hantaran yang dibuat pada Rabu itu turut disertakan dengan rujukan undang-undang iaitu Kaedah 4(1A), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelonggaran berkenaan sememangnya relevan kerana anggota perlu sentiasa bersedia, lebih-lebih lagi ketika sedang mengekori penjenayah memandangkan mereka perlu bertindak segera sekiranya berpeluang.

Perkara berkenaan turut diguna pakai terhadap badan beruniform lain seperti bomba kerana pemakaian tali keledar boleh mengganggu kelancaran tugas masing-masing.

"Dalam kaedah ini, jelas ditulis bahawa anggota polis, tentera, bomba, JPJ, kastam, ambulans dan beberapa agensi lain boleh dikecualikan daripada memakai tali pinggang keledar semasa menjalankan tugas rasmi tertentu," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram