
DALAM memilih pasangan hidup, ramai wanita sering menekankan soal harta dan rupa paras.
Pun begitu, usahawan Erni Dekritawati Yuliana atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati mengingatkan bahawa kedua-dua kriteria tersebut bukanlah jaminan kebahagiaan dalam rumah tangga.
Menurut anak sulung kepada jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, itu kekayaan yang diwarisi atau dimiliki seseorang lelaki boleh hilang sekelip mata jika tidak pandai diurus dengan baik manakala rupa paras pula tidak akan kekal selamanya.
"Jangan cari lelaki hanya kerana dia kaya, sebab kalau dia tidak pandai urus duit, lama-lama habis juga. Kalau dia bijak manage, itu bonus. Rupa pula… ia tak akan kekal,” ujar isteri kepada Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah itu baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Nampak remeh, 5 perkara ini buka laluan pada penjenayah, hati-hati posting media sosial
Sebaliknya, Rita beranggapan bahawa lelaki berilmu dan rajin jauh lebih bernilai untuk dijadikan pasangan hidup.
Sifat itu akan membuatkan mereka sentiasa mencari jalan demi kelangsungan keluarga walaupun ketika berdepan cabaran yang besar.
“Carilah lelaki yang berilmu dan rajin. Walau sesusah mana pun keadaan, dia akan tetap berusaha untuk mencari rezeki demi keluarganya,” tambahnya.
Dalam perkongsian lain sebelum ini, beliau turut menyentuh mengenai peranan wanita dalam rumah tangga.
Menurutnya, seorang isteri pastinya mampu memberi yang terbaik apabila dirinya merasa cukup dihargai, difahami dan mendapat rehat yang seimbang.
“Seorang wanita akan beri yang terbaik bila dia merasa cukup iaitu cukup rehat, cukup difahami dan cukup dihargai,” katanya.
Sementara itu, usahawan Aleeya Zailan turut menasihati anak sulungnya, Eva Natasha Azri agar memilih lelaki yang rajin berusaha berbanding lelaki yang sudah hidup senang sejak kecil.
“Saya pesan pada dia dari awal, jangan kahwin dengan orang kaya. Pilihlah suami yang rajin.
"Sebab kebanyakan lelaki kaya rasa diri mereka terlalu ‘tinggi’, sampai isteri terpaksa akur sahaja dengan apa sahaja keputusan.
"Kalau si suami nak kahwin lagi, isteri kena okey sahaja (turuti). Bukan semua, ada juga lelaki kaya yang memang layan isteri dengan betul. Kalau itu baguslah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn. Bhd., menerusi TikTok baru-baru ini.
Aleeya berpendapat, lelaki yang rajin jauh lebih menjamin masa depan kerana kesungguhan mereka mampu membawa pasangan hidup bersama-sama menuju kejayaan.
“Kalau lelaki itu rajin, dia boleh berusaha untuk kaya bersama,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram