[VIDEO] Mangsa maut motor terbabas di Tumpat rupanya ahli kariah masjid, tak lokek belanja makan


  • Kes
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Pok Id (gambar kecil) disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan papan iklan yang dilanggarnya tumbang.

KEMALANGAN maut pada Isnin dilaporkan melibatkan seorang penunggang motosikal apabila kenderaan ditunggangnya terbabas di bulatan sekitar Kampung Pasir Pekan, Tumpat di Kelantan.

Insiden itu direkodkan kamera papan pemuka (dashcam) daripada salah sebuah kereta berhampiran memaparkan keadaan jalan raya sedikit sibuk dengan kelihatan juga pengawal trafik berhampiran.

Namun, secara tiba-tiba, motosikal tersebut dikesan ditunggang dengan terlalu laju sebelum terbabas dan melanggar papan iklan dipasang dalam bulatan terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Kemalangan di UPM: Pemandu bas dijel seminggu, denda RM8,000

BACA LAGI: Tekong Kelantan Warriors parah, 2 maut terbabit kemalangan ngeri di Seberang Perai

Kemalangan menyaksikan penunggang berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan kejadian.

Jelasnya, mangsa yang merupakan lelaki warga emas berusia 68 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tumpat bagi bedah siasat.

Insiden tersebut menerima pelbagai respons daripada orang ramai, terutamanya penduduk di kawasan berkenaan dengan ada mengatakan insiden berlaku kerana mangsa cuba mengelak diri daripada sekatan jalan raya.

Dakwaan itu dibuat kerana motosikal ditunggang dengan terlalu laju selain ulang tayang perlahan memaparkan arwah seakan-akan tidak memakai topi keledar.

Tetapi, di sebalik itu, ada pula yang tampil menceritakan bahawa mereka mengenali mangsa, termasuk pengguna Facebook, Sidek Ali dengan menyatakan arwah seorang ahli kariah masjid.

"Al-Fatihah buat arwah pakcik ini (Pok Id), ahli jemaah Masjid Geting kerana kemalangan di bulatan Pasir Pekan pagi tadi (Isnin). Arwah ini baik sangat kerana dia pernah belanja kami sekeluarga dan semua pelanggan di kedai makan.

"Sering juga nampaknya menjala ikan di tali air sekitar Pantai Sri Tujuh dan Kampung Kok Bedullah," tulisnya.

Laporan polis menyatakan mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Wakaf Bharu ke Kota Bharu sebelum motosikal ditunggangnya hilang kawalan setelah melepasi bulatan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram