'Umpama anak cucu sendiri', nasib malang anak Sipitang jentik hati Norsalim Ali hasil lirik Justice for Zara


  • Massa
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Kes kematian Zara Qairina membuatkan Norsalim tergerak untuk menghasilkan lagu tersebut.

PELBAGAI kempen giat diadakan bagi membela keadilan atas kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dikatakan meninggal dunia selepas menjadi mangsa buli.

Hal itu dapat disaksikan apabila orang ramai mengadakan demonstrasi secara aman dan mengharapkan keadilan terbela sebaiknya buat pelajar kelahiran Sipitang, Sabah itu.

Tidak cukup dengan itu, kempen kesedaran turut diadakan menerusi platform media sosial apabila poster dan grafik dihasilkan dalam usaha memastikan keadilan dapat diraih segera.

BACA LAGI: Penglibatan pasukan khas JSJ Bukit Aman antara 4 permintaan peguam keluarga Zara Qairina

BACA LAGI: Mahkamah Koroner akan kendali inkues kes Zara Qairina — Jabatan Peguam Negara

Kematian Zara Qairina masih menjadi bahan bualan ramai sehingga hari ini.

Antara medium diambil pengguna adalah dengan menghasilkan sebuah lagu, Justice for Zara yang kerap kedengaran, terutamanya menerusi aplikasi TikTok.

Penulis lirik lagu tersebut, Norsalim Ali menyatakan rentak lagu terbabit dihasilkan menerusi janaan kecerdasan buatan (AI), tetapi bait-bait perkataan dipilihnya sendiri.

Jelasnya, idea untuk menulis lirik hadir selepas dia membaca berita dan laporan mengenai pemergian Zara Qairina yang memenuhi media massa sejak kematiannya.

"Sebagai seorang yang mempunyai anak dan cucu, saya hayati bagaimana perasaan ibu yang kehilangan anak tunggal. Pemergiannya juga bukan disebabkan kemalangan atau faktor lain, tetapi berlaku dalam kawasan berpagar dan terjaga.

Norsalim (hijau) sering memuat naik fotonya bersama keluarga di media sosial peribadinya.

"Saya meletakkan situasi yang mana saya meletakkan anak saya di tempat selamat dan berada di bawah satu jagaan, tetapi secara tiba-tiba, anak saya tidak dapat diselamatkan," katanya kepada Majoriti.

Selain berpuluh kali dikongsikan ke medium lain, lagu Justice for Zara turut dipilih sebagai lagu latar belakang untuk mana-mana video dihasilkan demi kesedaran orang ramai.

Lagu berkenaan juga sudah menerima perhatian meluas selepas sebuah radio tempatan mengudarakannya baru-baru ini selain sempat menemu bual Norsalim menerusi panggilan telefon.

Penulis lirik tersebut yang merupakan pesara di Batang Malek, Jasin di Melaka turut menyatakan perasaannya cukup tersentuh selepas membaca berita mengenai pemergian pelajar berkenaan.

Norsalim mengharapkan kes buli dapat dibendung kerana ia memberi kesan teruk terhadap mangsa. Gambar hiasan

"Saya anggap Zara ibarat anak atau cucu sendiri dan saya juga mempunyai cucu yang akan berusia 13 tahun pada 2026. Jadi, saya boleh katakan bahawa kanak-kanak ini masih kecil dan tidak boleh mempertahankan diri sendiri.

"Mereka memerlukan kasih sayang, tetapi diperlakukan sebegitu, memang tidak sepatutnya berlaku. Saya berasa amat-amat sedih mengenai kematian Zara," katanya.

Norsalim yang berusia 62 tahun turut berasa kesal berhubung kes buli yang semakin meluas kebelakangan ini dengan tindakan lebih tegas perlu diperkenalkan bagi membendungnya.

Penulis lirik Justice for Zara itu berharap peranan lebih besar dapat diberikan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap guru, termasuk memperkenalkan semula hukuman rotan dalam usaha mengelak kejadian sama berulang. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram