Gerakan Mahasiswa buat tuntutan terhadap KPM, KDN dan PDRM elak kes buli berulang


  • Massa
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Gerakan Mahasiswa menyenaraikan empat tuntutan kepada sekolah dan KPM.

GERAKAN Mahasiswa bersama gabungan masyarakat sivil mengemukakan senarai tuntutan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes buli sehingga menyebabkan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Mereka menegaskan, tragedi itu menjadi amaran jelas bahawa reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan insiden seumpama berulang.

Selain melaksanakan reformasi menyeluruh, wakil Gerakan Mahasiswa, Brendon Gan menyenaraikan empat tuntutan kepada sekolah dan KPM dengan yang utama ialah melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya berkaitan isu buli.  

BACA LAGI: Sejauh mana keseriusan YB tangani isu Zara Qairina? — Gerakan Mahasiswa

BACA LAGI: Peguam sahkan ada kesan cedera pada mayat Zara Qairina selepas bedah siasat

“Mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk SOP yang jelas dan tegas terhadap kes buli.

“Mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir, dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar, serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.

‘Memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu ini khususnya tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah,” katanya kepada pemberita selepas membacakan memorandum tuntutan itu.

Terdahulu, kira-kira 30 wakil badan bukan kerajaan (NGO) bersama gerakan mahasiswa melalui Sekretariat Solidariti Zara berarak dari Taman Tugu ke bangunan Parlimen di sini sambil membawa sepanduk serta plakad menuntut keadilan atas kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum itu kepada kira-kira 17 Ahli Parlimen dari kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang yang turut hadir ke lokasi sebagai tanda sokongan.

Antara ahli Parlimen yang menerima memorandum yang diserahkan aktivis dalam perhimpunan aman di hadapan pintu masuk Parlimen pada Selasa.

Ahli Parlimen berkenaan termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran), Chiew Choon Man (PH-Miri), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), R Yuneswaran (PH-Segamat), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), dan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud).

Selain itu, Gerakan Mahasiswa untuk Sekretariat Solidariti Zara juga menyediakan tujuh tuntutan kepada KDN dan PDRM dengan salah satunya islah memberi perkembangan siasatan berkala serta telus kepada masyarakat.

“Pihak berkuasa juga digesa untuk menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas Nasional bagi menyiasat kematian Zara Qairina serta semua kes buli yang melibatkan pelajar dalam tempoh 10 tahun terakhir. Hasil siasatan mesti dibentangkan secara terbuka kepada rakyat.

“Melaksanakan siasatan terbuka terhadap semua individu yang terlibat, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan pihak berkepentingan politik atau ekonomi, dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara adil tanpa pengecualian,” jelasnya.

Tuntutan lain termasuk permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat berhubung kelewatan siasatan, penyediaan latihan khusus kepada anggota polis bagi mengendalikan kes buli secara sensitif, serta jaminan perlindungan penuh kepada saksi dan keluarga mangsa.

Memorandum itu turut menuntut pelaksanaan inkues bagi mengenal pasti punca kematian, termasuk sebarang kemungkinan unsur jenayah, di samping memastikan keluarga mangsa menerima sokongan psikososial berterusan serta dilindungi daripada tindakan atau komen yang boleh menambah trauma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram