
GERAKAN Mahasiswa mempersoalkan keseriusan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas mereka mendakwa dibiarkan menunggu hampir dua jam bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu Zara Qairina Mahathir.
Wakil Gerakan Mahasiswa untuk Sekretariat Solidariti Zara, Hamdin Nordin mendakwa, pada mulanya mereka dimaklumkan bahawa Fadhlina akan hadir pukul 11 pagi di luar perkarangan Bangunan Parlimen untuk menerima memorandum tersebut.
“Namun, sehingga pukul 1 tengah hari kami menunggu, tiada kelibat YB Fadhlina yang datang untuk menerima memorandum itu,” dakwanya kepada Majoriti ketika ditemui di luar perkarangan Bangunan Parlimen pada Selasa.
Menurut Hamdin, keadaan tersebut menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan aktivis mahasiswa kerana ia memberi gambaran seolah-olah isu yang dibawa tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Wakil Gerakan Mahasiswa untuk Sekretariat Solidariti Zara, Hamdin.
“Kami melihat dua perkara, pertama jelas kami kecewa kerana dibiarkan menunggu hampir dua jam, dan kedua, ia menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana keseriusan pihak kementerian dalam menangani isu ini,” jelasnya.
Selepas beberapa jam perhimpunan itu, Fadhlina mengesahkan menerima memorandum daripada sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan berhubung kematian pelajar dari Sabah, Zara Qairina.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fadhlina memaklumkan pertemuan itu berlangsung petang Selasa bersama kumpulan aktivis berkenaan, yang sebelum ini menyatakan rasa kecewa kerana beliau tidak hadir menerima memorandum semasa demonstrasi itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fadhlina memaklumkan pertemuan itu berlangsung pada petang Selasa, dengan menegaskan KPM sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam menangani isu keselamatan pelajar.
Beliau berkata, pada hari penyerahan memorandum tersebut, KPM telah diwakili Ketua Setiausaha, Aminuddin Hassim, untuk menerima dokumen berkenaan daripada kumpulan aktivis yang mengangkat isu kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina.
Kes berprofil tinggi itu tercetus selepas Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah di Kota Kinabalu, Sabah bulan lalu.
Keluarga mangsa mendakwa berlaku unsur kecuaian pihak sekolah dalam memastikan keselamatan murid, sekali gus mengundang desakan siasatan bebas daripada pertubuhan masyarakat sivil, aktivis pendidikan dan badan hak asasi kanak-kanak.
Memorandum yang diserahkan itu mengandungi cadangan penambahbaikan SOP keselamatan sekolah dan gesaan agar pihak berkuasa bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang cuai.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan, selain memastikan setiap aspek keselamatan pelajar di sekolah terus diperkukuh bagi mengelak tragedi seumpama ini berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram