Kes buli Zara Qairina: 5 remaja mengaku tak bersalah


  • Kes
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Arwah Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia selepas menjadi kes buli di sekolahnya.

KESEMUA lima remaja yang didakwa berhubung kematian Zara Qairina Mahathir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad mengesahkan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 35 kanun sama kerana menggunakan bahasa kesat terhadap mangsa.

Sekiranya didapati bersalah, kesemua lima tertuduh boleh dihukum penjara setahun, denda atau kedua-duanya.

BACA LAGI: Kes Zara: Mahu hukuman lebih berat, peguam mohon tangguh pendakwaan 5 suspek

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina ditetapkan September depan

Kelima-lima suspek tiba dengan kawalan ketat pihak polis.

Nor Azizah turut mengesahkan bahawa perintah teguran sudah dipohon oleh peguam Datuk Ram Singh yang mengehadkan penyiaran berhubung butiran prosiding selari dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus yang mempengerusikan prosiding itu menetapkan tarikh 25 September depan bagi sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang, dengan RM1,000 perlu didepositkan dan seorang penjamin diperlukan.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram