
SEORANG pelajar wanita berusia 19 tahun yang masih menuntut di sebuah kolej swasta dikesan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) hala Utara, Johor pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut menerusi satu rakaman video tular yang dimuat naik di laman media sosial Community Roda Johor sekitar pukul 11.25 pagi.
Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat memaparkan sebuah kereta berwarna putih bergerak melawan arus di lebuh raya berkenaan
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi Isnin apabila pemandu kenderaan jenis Hyundai Elantra itu yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Johor Bahru telah tersalah masuk ke laluan motobas berhampiran Bangunan Sultan Iskandar.
BACA LAGI: Kes Zara: Mahu hukuman lebih berat, peguam mohon tangguh pendakwaan 5 suspek
BACA LAGI: [VIDEO] 'Nasib kena kereta, kalau orang?' penduduk Setiawangsa persoal kelulusan aktiviti memanah
Akibat kesilapan itu, wanita berkenaan telah memandu bertentangan arus di laluan tersebut sejauh beberapa kilometer.
“Pemandu menyedari kesilapan selepas melihat beberapa kenderaan membunyikan hon dan menyalakan lampu tinggi. Dia kemudiannya berpatah balik menghala ke arah Johor Bahru selepas hampir lima minit memandu secara melawan arus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan susulan insiden itu.
"Hasil ujian saringan air kencing dan alkohol mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol," tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa sebarang tindakan memandu secara berbahaya adalah kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Tindakan tegas dan tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” jelas kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram