
PASUKAN peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memohon agar pendakwaan bakal dikenakan terhadap kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu dapat ditangguhkan.
Menerusi satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Selasa, permohonan itu dibuat kerana bimbang kenyataan diperoleh tidak mencukupi untuk menyabit kesemua lima tertuduh dengan hukuman setimpal.
"Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Nasib kena kereta, kalau orang?' penduduk Setiawangsa persoal kelulusan aktiviti memanah
Kenyataan media bersama dikeluarkan oleh pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
"Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.
"Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika," katanya pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya merayu supaya kesemua remaja terbabit didakwa atas kesalahan lebih berat sekiranya keterangan sedia ada serta hasil siasatan lanjut mencukupi bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar 'Double Jeopardy' yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram