
MAHKAMAH Koroner Kota Kinabalu, Sabah menetapkan September depan untuk prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai Koroner, menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan pada Isnin.
Mahkamah menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September; 8 hingga 12 September;17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Seramai 195 saksi dikenal pasti untuk inkues dan prosiding itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terbabit dalam kematiannya.
Untuk rekod, Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Namun, keesokan harinya, Zara Qairina disahkan meninggal dunia dengan laporan awal menyatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Media pada Ahad melaporkan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina,13, pada Isnin.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).
"Memandangkan kes ini adalah suatu kes yang berkepentingan awam, jabatan ini akan memohon permohonan kes ini dipercepat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan saja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga demi kepentingan masyarakat umum," kata kenyataan itu pada Ahad.
Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya. — The Star/ STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram