
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan wujud unsur buli, pengabaian serta gangguan seksual dalam kes membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau menegaskan, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid mendapatkan ilmu, justeru sebarang bentuk kejadian membabitkan unsur buli tidak boleh sama sekali ditutup atau disembunyikan.
“Jika ada insiden sebegini, ia perlu dibawa ke tengah.
BACA LAGI : Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli
BACA LAGI : Inkues Zara Qairina ditetapkan September depan
"Malah dalam kes Zara, wujud elemen pengabaian apabila arwah sendiri pernah membuat aduan kepada pihak sekolah,” katanya Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Saifuddin berkata, pelbagai dakwaan lain turut disiasat termasuk pembabitan orang kenamaan dalam kes ini dan hasilnya mendapati ia tiada kaitan sama sekali.
Selain itu, katanya, prosiding inkues yang akan dijalankan September ini adalah platform terbaik bagi mendedahkan semua fakta secara telus, seterusnya memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, sebanyak 195 saksi dikenal pasti dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Ini membuktikan niat serta komitmen polis adalah jelas untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan dalam kes ini,” tegasnya.
Beliau juga menjelaskan tindakan tegas di peringkat dalaman akan dikenakan terhadap pegawai penyiasat kes berkenaan kerana tidak mematuhi SOP siasatan dengan sebenar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram