Ibu Zara minta saksi terutama pelajar supaya tidak takut, kalau takut polis jumpa peguam


  • Kes
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Noraidah Lamat (kiri) merayu agar semua saksi terutama pelajar tidak gentar untuk tampil memberi keterangan berhubung kes kematian anaknya, Zara.

 

 

IBU kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir iaitu Noraidah Lamat merayu agar semua saksi terutama pelajar tidak gentar untuk tampil memberi keterangan berhubung kes kematian anaknya.

Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata ibu arwah berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang, malah berharap saksi berani menyuarakan kebenaran.

“Saya ada bercakap dengan ibu Zara tentang isu ini, dan dia (ibu Zara) sangat gembira serta memohon kepada semua saksi yang ada supaya tidak takut terutama kepada pelajar.

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina ditetapkan September depan

BACA LAGI: [VIDEO] Jika polis ikut SOP, bertindak tegas tak akan berlaku gelombang JusticeForZara — Peguam

"Jangan takut tampilkan diri, kalau takut kepada polis, jumpa kami (peguam),” katanya memetik laporan berita kupikupifm pada Isnin.

Hamid dalam masa sama memberi peringatan tegas kepada pempengaruh media sosial, khususnya di TikTok, agar tidak menakut-nakutkan saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kes tersebut.

Beliau mendedahkan terdapat saksi terutama pelajar yang enggan tampil kerana bimbang dengan ugutan netizen serta beberapa individu di media sosial.

“Saya menggalakkan orang ramai tampil kepada polis atau secara terus dengan saya. Kepada pempengaruh (influencers) jangan menakut-nakutkan saksi.

"Dalam mencari keadilan, jangan sampai memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, Hamid menegaskan himpunan solidariti untuk Zara tidak boleh dicemari dengan agenda politik.

“Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan suruh datang. Kita semua berkumpul untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram