
LORI yang didapati melanggar trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada Mei lalu didapati membawa berat berlebihan semasa insiden tersebut.
Hasil daripada Laporan Awal Pasukan Petugas Khas, lori tersebut turut didapati memasuki laluan bertentangan sekali gus menyebabkan ia melanggar trak FRU yang berada di laluan tersebut.
Mengikut siasatan, ia mendapati trak tersebut membawa muatan yang tidak selari dengan kelulusan dibenarkan mengikut Pelan Teknikal Kenderaan, Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.
BACA LAGI: Pemandu lori punca nahas FRU ditahan semula sejurus dibebaskan sebab kes curi lembu
BACA LAGI: APAD batalkan lesen syarikat lori batu nahas korbankan 9 anggota FRU
Nahas trak FRU mengorbankan sembilan pegawai unit tersebut.
"Berdasarkan pelan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lori tipper terbabit diluluskan hanya untuk mengangkut arang batu dengan ketinggian pagar sisi dibenarkan ialah 1,016 mm berdasarkan muatan coal yang mempunyai ketumpatan pukal lebih rendah berbanding batu kerikil.
"Ukuran ini disahkan semasa pemeriksaan pasca-kemalangan, namun semasa kejadian, lori itu dikesan membawa muatan batu kerikil yang tidak selaras dengan kelulusan asal sekali gus melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010 kerana membawa muatan selain dibenarkan.
"Menurut Garis Panduan Penyemakan Pelan Teknikal Kenderaan 2015, kenderaan yang mengangkut bahan binaan seperti pasir atau batu kerikil hanya dibenarkan sekiranya ketinggian pagar sisi tidak melebihi 762 mm, kecuali untuk muatan khas berketumpatan tertentu yang diluluskan sebagai jenis badan khas," tulis laporan tersebut.
Berkenaan memasuki laluan bertentangan pula, laporan mendapati kesan brek serta geseran pada tayar membuatkan lori tersebut berada di tempat tidak sepatutnya.
Impak pelanggaran itu membuatkan kedua-dua kenderaan berada dalam keadaan mengiring ke sebelah sisi kiri masing-masing.
"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua lori terbalik ke sisi kiri masing-masing dan berada pada kedudukan akhir dalam keadaan mengiring. Di kawasan berhampiran simpang jalan, satu pasangan kesan brek (dual skid marks) sepanjang 4.1 meter telah dijumpai memasuki laluan bertentangan (lorong membelok).
"Jarak antara titik tengah kedua-dua kesan brek itu adalah 32 sentimeter (cm), selari dengan jarak antara titik tengah pasangan tayar belakang lori tipper. Maka, adalah sangat berkemungkinan kesan brek ini dihasilkan lori tipper. Kesan brek ini menunjukkan, lori itu telah memasuki laluan membelok dari arah bertentangan ketika menghampiri kawasan simpang.
Siasatan turut mendapati tiada sebarang masalah teknikal pada lori tersebut yang menyumbang kepada kemalangan tersebut.
Laporan Awal Pasukan Petugas Khas dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan menerusi laman sesawangnya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram