Dulu pekerja kilang, ibu 3 anak kini tauke produk kecantikan, semuanya angkara bulu mata palsu


  • Bisnes
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Lucy tidak berputus asa membangunkan operasi House of Amor walaupun penah jatuh. — Agensi

 

'JANGAN takut untuk gagal'. Itulah kata-kata semangat seorang wanita dari Bristol, England, United Kingdom (UK) yang berjaya mengubah hidupnya secara total.

Daripada bekerja sambilan di sebuah syarikat pelupusan logam, Lucy Pearce kini pengasas kepada sebuah jenama kecantikan yang dikenali ramai.

Ibu kepada tiga anak itu menubuhkan House of Amor bermula 2021 dengan matlamat membantu wanita menjana pendapatan menerusi pelbagai rangkaian produk kecantikan seperti bulu mata dan kuku palsu di rumah.

BACA LAGI: Serlah identiti Malaysia, ini 5 jenama tempatan patut disokong menjelang Merdeka

BACA LAGI: Jangan terus simpati atau skeptikal, kenali 2 kategori wanita kerap bersendirian, tak ramai kawan

Lucy (tiga dari kanan) menubuhkan House of Amor sejak 2021. — Agensi

"Saya mula jual bulu mata palsu secara kecil-kecilan di rumah pada 2017 tetapi gagal.

"Ia tidak menghasilkan keuntungan, tetapi saya tetap melakukannya kerana saya hanya menyukai sisi kreatifnya.

"Saya akan membuat semua pelekat sendiri dan akan menggunakan kertas vellum (lutsinar)," katanya.

Menurutnya, idea tersebut tercetus ketika pandemik Covid-19 apabila Lucy sendiri berdepan dengan kesibukan menguruskan anak-anak.

"Saya tidak mempunyai masa untuk bersiap lama-lama setiap pagi.

"Hidup saya hampir gila, saya rindu perasaan untuk mempersiapkan diri.

"Jadi, saya keluar cuba menyelesaikan masalah peribadi yang secara tidak langsung menjadi alternatif buat orang lain.

"Daripada situ saya fikirkan cara mudah untuk wanita sibuk seperti saya tampil yakin," katanya.

Perniagaannya bermula secara kecil-kecilan dari rumah. — Agensi

Dengan modal sekitar RM2,855 (£500) hingga RM5,710 (£1,000), Lucy memperkenalkan bulu mata palsu yang boleh dipasang sendiri di rumah tetapi masih memberi hasil profesional pada harga mampu milik.

Permulaannya sederhana, namun jenama itu melonjak dan mula dikenali selepas Lucy mula memuat naik video demonstrasi produk melalui platform media sosial TikTok.

Video pendeknya juga tular sehingga menarik perhatian pengguna seluruh UK.

"Saya tidak tahu langsung tentang strategi pemasaran. Saya hanya berkongsi kerana sukakan produk ini," jelasnya.

Hanya enam minit selepas pelancaran rasmi, House of Amor menerima lebih 200 pesanan.

Antara rangkaian produk kecantikan yang dijual. — Agensi

Ia menjadi momen yang membuatkan Lucy terharu kerana tidak menyangka akan mendapat sambutan luar biasa.

Kini, kejayaan Lucy dan jenamanya mendapat liputan dalam majalah ternama seperti Vogue, Glamour dan Vanity Fair sekali gus menjadikan kisahnya inspirasi buat wanita lain yang ingin berani mencuba sesuatu baharu.

House of Amor kini telah berkembang dengan menawarkan rangkaian penuh produk kecantikan.

Lebih daripada sekadar kecantikan, Lucy percaya jenamanya memberi kuasa dan meningkatkan keyakinan diri pelanggan.

House of Amor beroperasi di Winford, Bristol, UK. — Agensi

"Kami menerima mesej daripada pelanggan yang mengatakan produk kami telah mengubah hidup mereka.

"Kami sudah membina sebuah komuniti yang menakjubkan dan itulah yang ingin kami terus lakuka.

"Memberi inspirasi, memperkasakan orang ramai serta membawa perubahan," ujarnya.

Pada 2024, produk kuku palsu press-on keluaran House of Amor dinobatkan sebagai Produk Kecantikan Terbaik 2024 oleh British Vogue.

Kini Lucy memiliki sebuah kedai di Winford, Bristol pada masa sama turut menjalankan perniagaan secara dalam talian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram