'Ucapan terima kasih hilangkan penat', ibu muda dari Johor hasilkan sendiri bahan bacaan awal kanak-kanak demi pendidikan anak


  • Bisnes
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Farzana menguruskan perniagaannya dan menggalas tanggungjawab sebagai isteri serta ibu kepada anak perempuannya di rumah.

MEMEGANG status ibu secara tidak langsung memberi idea kepada pemilik jenama Farzana Rosl Kids dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak.

Berasal dari Segamat, Johor dan kini menetap di Semenyih, Selangor, Farzana Rosl menghasilkan pelbagai jenis bahan bacaan untuk kanak-kanak secara digital.

Kata wanita berusia 28 tahun itu, perniagaannya mula ditubuhkan sejak awal 2025 dan beroperasi sepenuhnya dari rumah.

BACA LAGI: Demi jaga nenek demensia, bekas cef restoran Michelin sanggup tinggalkan karier, buka kafe kecil dalam rumah

BACA LAGI: Suami isteri usahakan kebun jadi 'hidden gem' agropelancongan di Hulu Langat, Ekar Lui didik kanak-kanak kenali alam

Farzana Rosl menjalankan perniagaannya sepenuhnya dari rumah.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang rekaan dalaman selama tiga tahun di City University College of Science and Technology, Petaling Jaya, Selangor, Farzana mula berjinak dalam bidang perniagaan.

"Saya dah ada tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini sejak 2019 hingga 2024.

"Saya berhenti sekejap ketika hamil sebelum sambung semula pada Mei lalu.

"Masa itu saya fikir nak sambung kerja lepas anak enam bulan, tetapi kes penderaan kanak-kanak yang banyak sekarang buat saya ragu-ragu dan takut untuk hantar anak ke pengasuh," katanya kepada Majoriti.

Bagi ibu muda sepertinya, memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa tidak memberinya kepuasan.

Semua rekaan dihasilkan menggunakan bantuan AI.

Rasa ‘kosong’ mula hadir apabila tidak lagi dapat mencari pendapatan sendiri.

Pelbagai cara dilakukannya untuk mencari duit poket dari rumah termasuk menjual produk kosmetik secara dalam talian namun tidak bertahan lama.

Segalanya berubah apabila Farzana menyedari keperluan pendidikan awal untuk anaknya yang sedang dalam proses membesar.

"Sampai satu hari itu, saya beli banyak buku untuk anak, tetapi macam banyak sangat visual berbanding perkataan.

"Bila terlalu banyak gambar, anak saya tak boleh fokus pada satu. Contohnya ada huruf alif ba ta tetapi ada gambar haiwan dalam muka surat yang sama.

"Jadi, saya ambil keputusan untuk buat bahan digital sendiri dan pada masa sama muat naik di media sosial.

"Tak sangka dapat sambutan hangat dan ramai yang nak beli," jelasnya.

Antara kad dihasilkan Farzana dan dijual secara dalam talian.

Bermula dengan flashcard, kini rangkaian produknya diperluaskan seperti poster bersama 20 padanan kad, modul buku kanak-kanak serta beberapa permainan kanak-kanak yang lain.

Katanya, kad imbasnya juga kini dinaik taraf dengan pengeluaran versi cetakan bagi memudahkan ibu bapa untuk mengajar anak mereka di rumah.

"Modul buku yang saya baru lancarkan ada lima dan kesemuanya adalah secara digital.

"Perkataannya pula saya lebih fokuskan pada kosa kata haiwan, baju, keperluan bayi dan asas Islam.

"Sebab saya nampak masih tak banyak lagi keluarkan modul buku ajar kosa kata asas Islam di Malaysia, kebanyakannya dari Indonesia," ujarnya.

Menariknya, anak sulung daripada enam beradik itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menjana ilustrasi sebelum disunting menggunakan perisian reka bentuk bagi menghasilkan visual yang jelas dan estetik.

Harga yang dikenakan untuk set digital adalah serendah dari RM5 hingga RM20.

Manakala, kad yang dicetak pula dijual pada harga RM150 untuk empat set.

Set cetakan kad bersama poster estetik.

Farzana juga tidak menggunakan warna yang terlalu terang atau banyak rangsangan bagi membantu kanak-kanak lebih fokus ketika belajar.

Menguruskan perniagaan seorang diri sambil menjaga anak yang kini berusia dua tahun, Farzana tidak menafikan ia menjadi cabaran terbesar buatnya.

"Cabaran saya adalah masa sebab kita perlu seimbangkan waktu anak tidur, makan, main dan sebagainya.

"Ada hari yang sampai tengah malam pukul 12 malam baru dapat baring. Penat juga sebab tak boleh berhenti promosi di media sosial.

"Disebabkan itu saya selalu akan uruskan anak dahulu sebelum mulakan kerja," katanya.

 

 

Farzana berkata, minatnya dan respons positif yang diberikan pelanggan sentiasa membantu memberikan motivasi untuk terus menjalankan perniagaannya.

Mendengar ucapan seperti 'terima kasih' daripada pelanggan juga cukup membuatkan usaha dan kerja kerasnya dihargai.

"Saya lebih ketengahkan konsep estetik dalam setiap produk yang saya hasilkan.

"Jadi, saya harap ia dapat berikan sesi pembelajaran yang lembut dan efektif kepada kanak-kanak.

"Bila ada anak, saya nak asah dia supaya tak ketinggalan dan tersisih pada masa akan datang.

"Sekurang-kurangnya bila saya keluarkan produk seperti ini dapat galakkan ibu bapa lain untuk mula ajar anak mereka sejak bayi," katanya sambil menambah bahawa perkara itu turut dilakukan pada anaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram