
DI sebalik meja makmal di Louisiana State University (LSU) di Baton Rouge, Louisiana, Amerika Syarikat, Prof Ir Herry S. Utomo tidak menyangka penyelidikannya bakal mengubah nutrisi dunia.
Ketika masih melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran bidang bioteknologi tanaman di LSU, beliau sudah bercita-cita mencipta varieti padi unggul.
Berasal dari Malang, Indonesia, Herry bertekad untuk mencipta beras sihat yang selamat dimakan oleh penghidap kencing manis tanpa risau lonjakan gula dalam darah selain berkhasiat tinggi buat golongan yang mengalami malnutrisi.
BACA LAGI: Bantu anak fobia nombor, guru dari Sandakan asaskan Numi, latih pendidik seluruh Asia Tenggara
Beliau yang turut memiliki ijazah sarjana dari University of Kentucky, dalam bidang Breeding and Quantitative Genetic, mendalami genetik tumbuh-tumbuhan dan fungsinya pada peringkat molekular.
Selama tujuh tahun, beliau bergelumang dengan benih-benih padi. Cabaran bukan hanya datang dari makmal, tetapi juga dari aspek pertumbuhan benih di tanah Amerika.
Kadang-kadang padi yang ditanam gagal tumbuh, ada pula hasil yang tidak memenuhi jangkaan — ada bulir yang pendek, malah ada yang kosong.
Beras Cahokia ciptaan Herry dihasilkan bukan melalui modifikasi genetik, tetapi melalui proses mutasi semula jadi. — Agensi
Namun, dari setiap kegagalan itu, Herry terus melangkah dengan tekad dan semangat yang tinggi.
Akhirnya pada 2014, Herry berhasil menciptakan varieti padi yang mengandung 50 peratus lebih banyak protein daripada beras biasa.
Indeks glisemiknya hanya 41 peratus, jauh lebih rendah dibandingkan beras biasa yang lazimnya boleh mencecah 79 peratus.
Produk inovatif itu digelar Beras Cahokia, yang namanya diambil dari kota kuno di Amerika Utara dan dihasilkan bukan melalui modifikasi genetik, tetapi melalui proses mutasi semula jadi.
Hasil penyelidikan itu berjaya dipatenkan di Amerika Syarikat pada 2017 dan kini dipasarkan secara komersial di negara tersebut.
Pada tahun yang sama, LSU menganugerahkan gelaran F. Avalon Daggett Endowed Professor kepada Herry, satu gelaran terhormat bagi akademik yang mempunyai sumbangan ilmiah dan sosial yang luar biasa.
Dua tahun kemudian, Beras Cahokia dipasarkan secara besar-besaran dan kini sudah tersedia di lebih daripada 1,500 pasar raya di wilayah selatan Amerika Syarikat.
Herry berkata, Beras Cahokia diharap dapat membantu mengatasi masalah kekurangan gizi global, terutama protein. — Agensi
Varieti tersebut dilesenkan kepada dua perusahaan, menjadikannya satu pencapaian penting dalam kerjaya penyelidikan beliau yang turut menjana royalti buat dirinya.
"Beras ini selamat, ia bukan tanaman yang dimodifikasi secara genetik, tetapi tanaman alami yang kami cipta di Louisiana melalui mutasi semula jadi,” kata Herry.
Beras Cahokia mempunyai kandungan protein 50 peratus lebih tinggi berbanding padi varieti biasa, boleh dituai lebih cepat, berbutir panjang dan tahan terhadap kulat padi (Pyricularia grisea) jenis IG-1, IH-1, IB-54 dan ID-13.
Proses penanaman padi Beras Cahokia tidak memerlukan kos tambahan dan mampu menghasilkan 150 kilogram (kg) protein tulen per hektar, yang bersamaan dengan 550 kg daging dan 4,500 liter susu.
Sekiranya padi tinggi protein itu ditanam di Indonesia (yang mempunyai keluasan tanah sawah 4.5 kali lebih luas berbanding Amerika Syarikat), pengambilan protein tambahan adalah sekitar 1 juta tan atau bersamaan dengan 3.6 juta tan daging.
"Beras Cahokia bukan hanya inovasi sains, tapi juga misi kemanusiaan. Kami ingin menciptakan solusi yang sihat, alami dan dapat membantu mengatasi masalah kekurangan gizi global, terutama protein,” ujar Herry.
Proses menanak Beras Cahokia memerlukan masa, haba dan air yang jauh lebih sedikit berbanding beras biasa, sekali gus menjimatkan bahan bakar.
Herry kini dia sedang meneroka pasaran luar Amerika, termasuk China dan Afrika.
Beliau berharap Beras Cahokia dapat membantu menurunkan kadar diabetes dan masalah malnutrisi di Amerika.
“Jika dapat menurunkan hanya 5 peratus pun, itu sudah satu pencapaian besar,” ujarnya penuh harapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram