
PENJAWAT awam yang melanjutkan pengajian menggunakan perbelanjaan sendiri akan menerima insentif kewangan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.7 juta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, insentif tersebut menyasarkan pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan, dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 91,000 penjawat awam.
Bagi yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD), mereka akan menerima RM1,250, diikuti RM1,000 untuk Ijazah Sarjana (Master), RM750 (Ijazah Sarjana Muda) dan RM500 bagi diploma atau kelayakan setaraf.
BACA LAGI: Kuasa beli pesara terhakis, KWSP perlu reformasi segera elak pesara terus terhimpit kos sara hidup
Insentif kewangan itu dikenali sebagai Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA).
Anwar berkata, ia diberikan kepada penjawat awam yang menggunakan dana sendiri ketika memulakan dan menamatkan pengajian akademik yang diiktiraf semasa tempoh perkhidmatan masing-masing.
“Bagi mereka yang mengambil inisiatif untuk belajar dengan usaha sendiri, kita berikan sedikit tanda penghargaan.
“Ia akan memberi manfaat kepada 91,672 penjawat awam. Insentif ini diberikan sekali sahaja sepanjang kerjaya, sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan melalui inisiatif sendiri,” katanya.
Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA 20) di Putrajaya, pada Jumaat (15 Ogos).
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. — The Star/ ARFA YUNUS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram