
DI sebuah desa di wilayah Henan, China, seorang wanita muda menolak troli kecil di sepanjang jalan berdebu sebelum berhenti di hadapan rumah-rumah kampung di situ.
Dari kejauhan, dia sudah dapat melihat sekumpulan warga emas sedang menunggu dengan sabar.
Jika di kampung, dia dikenali dengan nama Li Yayun, namun di pelosok dunia lain, sensasi internet berusia 27 tahun itu popular dengan panggilan Li Fugui.
BACA LAGI: Tak fasih Mandarin bukan halangan, Nurul Huda 'jalan terus' dalami bidang perubatan tradisional Cina
BACA LAGI: Tokoh korporat dari Cherok Tok Kun enggan terlalu selesa, mahu wanita hindari sindrom 'imposter'
Li Yayun (kanan) dan datuknya menggalas tugas menjaga kedua-dua ibu bapanya yang mengalami ketidakupayaan intelektual. — Agensi/Handout
Ada juga peminat dunia maya yang menggelarnya 'Xi Shi Sayur' satu gelaran yang merujuk kepada salah seorang wanita tercantik dalam sejarah purba China.
Di sebalik populariti yang dikecapi Li Yayun, dia pernah menjalani hidup dalam serba kekurangan.
Kedua-dua ibu bapa Li Yayun mengalami ketidakupayaan intelektual yang mana emaknya memerlukan penjagaan sepenuh masa, manakala ayahnya, memiliki tahap pemikiran seperti kanak-kanak berusia enam tahun.
Bapa Li Yayun hanya mampu memasak hidangan ringkas dan menunggang motosikal elektrik dalam jarak dekat.
Seawal usia lima tahun, Li Yayun sudah membantu membuat kerja-kerja rumah.
Semasa berumur 15 tahun, dia berhenti sekolah untuk mencari nafkah, mengambil pelbagai pekerjaan seperti jurujual, pembantu gerai barbeku dan jurusolek.
Dia mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun dengan harapan mendapat pasangan hidup yang sanggup berkongsi tugas menjaga ibu bapa.
Namun, setahun kemudian, rumah tangga itu berakhir apabila suaminya enggan memikul tanggungjawab menjaga keluarga.
Selepas neneknya meninggal dunia pada 2020, Li Yayun dan datuknya mengambil alih sepenuhnya tugas menjaga kedua-dua ibu bapanya.
Sensasi internet berusia 27 tahun ini juga popular dengan panggilan Li Fugui. — Agensi/Handout
Rutin hariannya meliputi memasak untuk ibu bapa, mengajar bapanya menulis, menolong datuknya di kebun buah-buahan dan mengurus jualan hasil tani secara atas talian.
Untuk menampung hidup, dia berjalan dari kampung ke kampung dengan troli kecilnya, menjual makanan seperti tauhu, mi sejuk, sayur-sayuran dan kuih-muih pada harga murah.
Kebanyakan pelanggannya ialah warga emas yang hidup sendirian, ditinggalkan anak-anak mereka yang merantau bekerja di bandar.
“Dulu, warga emas ini perlu berjalan berjam-jam untuk sampai ke pasar. Saya hanya mahu memudahkan hidup mereka. Bukan kerana duit,” kata Li Yayun.
Dia merakamkan momen itu dalam bentuk video gaya hidup desa dan menerima respons di luar jangka apabila meraih 7 juta pengikut di media sosial China.
Menerusi videonya, Li Yayun kerap dilihat memberi tauhu ekstra kepada pelanggan warga emas, membiarkan mereka merasai kuih secara percuma atau membantu mereka menjemur gandum, membuat panggilan telefon selain membaiki peranti.
Bagi penduduk kampung, Li Yayun seperti anak sendiri. Mereka sering menjemputnya makan bersama dan berkongsi kisah hidup.
Li Yayun tidak pernah berniat untuk membuat 'content' demi keuntungan dan hanya membantu memudahkan hidup warga emas di kampungnya. — Agensi/Handout
Media China mendakwa dia memperoleh lebih satu juta yuan (RM814,000) setahun, namun Li Yayun menepis khabar angin itu.
Dia menjelaskan pendapatannya hanya sedikit lebih tinggi daripada pekerja pejabat biasa, dengan semuanya dijana daripad jualan online tanpa menerima sebarang iklan berbayar.
“Saya tidak mencari simpati. Ramai orang kelainan upaya hidup dalam keadaan lebih susah, tetapi mereka tetap menghargai kehidupan Jadi, saya tiada alasan untuk tidak melakukan perkara yang sama,” katanya.
Keikhlasannya menyentuh hati jutaan orang.
“Kesederhanaan dan keikhlasan Li Yayun bersama warga emas sentiasa menyentuh hati saya.
"Perkara sebegini tidak wujud dalam kehidupan fast-paced di bandar,” kata salah seorang pengikutnya.
Seorang lagi menggambarkan Li Yayun sebagai bunga matahari yang mekar di tanah gersang — kuat, berdikari, dan anggun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram