
KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan pelantikan tiga pegawainya sebagai Setiausaha Pertama (Ekonomi) di luar negara.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di laman X berkata, pelantikan itu dalam usaha memperkukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan antarabangsa negara.
Mereka yang terlibat ialah Intan Shafina Rasdi, yang akan memulakan tugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Muanati Afzan Mohammad di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China dan Auji Nabilah Abdul Razak di Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam.
BACA LAGI: Inside Scoop bina 'cult-fanbase', buat RM36 juta jual aiskrim artisanal perisa lokal unik
Tengku Zafrul (kiri) bersama tiga pegawai wanita MITI yang dilantik sebagai Setiausaha Pertama (Ekonomi).
Pelantikan ini merupakan satu langkah penting dalam usaha MITI untuk memastikan kesinambungan diplomasi ekonomi serta memperluas jaringan perdagangan Malaysia di peringkat global.
“Saya mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan berharap ketiga-tiga pegawai ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang serta menjadi pemangkin kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara Malaysia dan negara-negara rakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat bertugas kepada ketiga-tiga pegawai berkenaan serta menzahirkan keyakinan bahawa mereka akan membawa nama Malaysia dengan penuh integriti dan profesionalisme di pentas antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram