
BAGI Kughanya Kumaran, 'healing' bukar sekadar untuk diri sendiri malah ia bermula dengan usaha menyelamatkan bumi, satu langkah berani dalam dunia keusahawanan hijau yang semakin mendapat tempat.
Pada usia 23 tahun, Kughanya mengambil langkah konkrit untuk merealisasikan visinya dengan menerajui perusahaan lestari yang bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi juga melindungi alam sekitar dan memberi nilai tambah kepada kehidupan manusia.
“Saya ingin menerajui perniagaan yang bukan sekadar menghasilkan keuntungan, tetapi mampu membawa kesan positif kepada manusia dan alam,” katanya.
Kughanya yang merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan menewaskan peserta lain untuk menjuarai kategori Idea Perniagaan UH Flare 2025.
Pelajar Komunikasi Massa di INTI International College Pulau Pinang itu membangunkan Nutriloop, baja organik yang dihasilkan daripada sisa toksik dan buangan agrikultur.
“Produk ini bukan sahaja dapat memulihkan tanah tercemar, malah memberi impak positif kepada kesihatan awam,” jelasnya.
Kughanya membawa idea Nutriloop ke UH Flare 2025, satu pertandingan idea keusahawanan antarabangsa anjuran University of Hertfordshire, United Kingdom.
Di sana, dia bersaing dengan sembilan finalis lain dari seluruh dunia termasuk dari India, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Switzerland, Afghanistan dan Afrika.
Tidak terhenti di situ, Kughanya yang merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan menewaskan peserta lain untuk menjuarai kategori Idea Perniagaan UH Flare 2025.
“Apa yang paling bermakna ialah apabila para juri bukan sahaja mendengar pembentangan saya, tetapi juga menyentuh, menghidu dan menguji sendiri produk ini.
"Mereka malah menunjukkan minat untuk membeli baja organik ini,” katanya teruja.
Kughanya menyifatkan pengiktirafan itu sebagai lebih bermakna daripada sebarang anugerah kerana ia membuktikan bahawa Nutriloop bukan sekadar idea tetapi satu penyelesaian nyata yang diyakini masyarakat.
Kughanya (tengah) disambut oleh keluarganya sekembali dari UK selepas memenangi UH Flare 2025.
Menceritakan mengenai idea Nutriloop, Kughanya berkata, ia tercetus hasil daripada kajian Kughanya sendiri yang menunjukkan bahawa Malaysia berdepan risiko krisis alam sekitar dan kesihatan awam dalam tempoh lima tahun akan datang jika isu pelupusan sisa berbahaya dan penggunaan bahan kimia sintetik tidak ditangani segera.
Memandang ke depan, Kughanya berhasrat untuk menyertai lebih banyak pertandingan inovasi dan platform antarabangsa demi memperluaskan impak Nutriloop.
"Selain itu, fokus seterusnya adalah memperkukuh penyelidikan saintifik di sebalik produk tersebut, termasuk ujian makmal, pengesahan saintifik dan pendaftaran rasmi di peringkat nasional.
“Jika semuanya berjalan lancar, saya ingin jadikan Nutriloop sebuah perniagaan sebenar dengan diterajui oleh saya sendiri, sebagai wanita muda Malaysia yang ingin membawa perubahan,” katanya penuh semangat.
"Saya harap suatu hari nanti dapat bergelar pengasas atau 'lady boss' kepada jenama teknologi hijau yang lahir di Malaysia dan dikenali di seluruh dunia," tuturnya.
Kini, pelbagai perancangan sedang diatur, termasuk pelancaran aplikasi mudah alih, pembukaan kedai dalam talian, serta kerjasama dengan ladang-ladang lestari dalam usaha memperluas skala produk berkenaan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Kughanya turut menasihati golongan muda khususnya pelajar supaya membuat penambahbaikan demi masa depan negara.
“Mulakan dari hati. Jangan kejar pengiktirafan tetapi kejarlah impak. Cari masalah sebenar yang menyentuh hati dan bina sesuatu yang boleh memberi penyelesaian kepada orang lain.
"Jangan takut mengambil langkah pertama, berani untuk gagal, belajar dan terus berkembang," katanya. — The Star/ LARA ALISHA ISITOR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram