Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya


  • Massa
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Rafizi memaklumkan anaknya cedera selepas diserang individu tidak dikenali di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

ANAK lelaki kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, cedera selepas diserang individu tidak dikenali di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada petang Rabu.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kejadian berlaku sekitar pukul 1.45 petang ketika isteri dan anaknya memasuki kereta untuk meninggalkan lokasi berkenaan.

“Tiba-tiba, seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli

BACA LAGI: Anak Rafizi diserang individu tak dikenali di pusat beli-belah di Putrajaya

"Semakan mendapati dua lelaki bermotosikal mengekori kereta isteri saya sebelum merancang serangan tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial miliknya pada hari yang sama.

 

Jelas beliau, suspek berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar menutup muka sepenuhnya, dipercayai menunggu lebih awal sebelum bertindak menyerang pada waktu yang sesuai.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan, manakala polis hadir ke lokasi sejurus kejadian berlaku.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor akan dimaklumkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.

"Terima kasih kepada PDRM dan Hospital UPM atas bantuan mereka,” katanya.

Rafizi turut mengakui kejadian itu merupakan kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan sejak beliau bergelar ahli politik.

“Saya percaya serangan ini sebagai amaran supaya saya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

"Namun, saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram