[VIDEO] Kes buli melonjak 20 kali ganda, ramai ibu bapa kini pertimbang hantar anak ke sekolah swasta — Syed Saddiq


  • Massa
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Jurang antara pendidikan awam dan swasta dijangka semakin melebar apabila lebih ramai ibu bapa mula mempertimbangkan sekolah swasta berikutan peningkatan kes buli di sekolah kerajaan. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

JURANG antara pendidikan awam dan swasta dijangka semakin melebar apabila lebih ramai ibu bapa mula mempertimbangkan sekolah swasta berikutan peningkatan kes buli di sekolah kerajaan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ibu bapa yang hanya mampu menghantar anak ke sekolah kerajaan berisiko terpinggir kerana tiada pilihan lain.

“Saya sendiri produk sekolah rendah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan universiti awam. Setiap kali ada kes buli tular, saya sangat bimbang.

BACA LAGI: Langkah bijak MARA atasi buli, setidaknya boleh bantu pesara tentera, polis

BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli

“Realitinya, anak daripada keluarga berada ada pilihan seperti sekolah antarabangsa, sekolah swasta atau belajar di luar negara,” katanya ketika berbahas pada Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurutnya, bagi anak daripada keluarga miskin, sekolah kerajaan adalah satu-satunya pintu untuk keluar daripada kemiskinan, namun kualiti pendidikan yang semakin berbeza berisiko mewujudkan sistem dua lapis untuk golongan kaya dan miskin.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed  mencadangkan sekolah kerajaan dilengkapi warden dengan elaun mencukupi, kaunselor terlatih semula dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah buli.

Beliau memaklumkan, data menunjukkan keluarga berpendapatan sederhana kini sanggup berbelanja besar untuk pendidikan swasta, selain laporan buli melonjak daripada kira-kira 300 kes setahun pada 2021 hingga 2024 kepada 6,500 kes setahun.

“Buli jadi budaya apabila warden cuai, pengetua tutup mata demi menjaga reputasi dan rakan sebaya menganggap ia tradisi senior,” katanya.

Syed Saddiq turut membangkitkan kes Zara Qairina Mahathir dan mempersoalkan mengapa tindakan hanya diambil selepas dua minggu serta memerlukan bantahan awam dan tular di media sosial untuk menukar warden dan pengetua.

“Pentadbiran sekolah perlu dipertanggungjawabkan sama seperti ibu bapa apabila kecuaian menyebabkan pelajar tercedera. Pengurusan sekolah mesti melindungi pelajar sepenuhnya,” tegasnya.

Beliau mencadangkan sekolah kerajaan dilengkapi warden dengan elaun mencukupi, kaunselor terlatih semula dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah buli.

“Jika berlaku buli, tindakan mesti diambil dari peringkat tertinggi hingga bawahan. Semua pihak perlu memainkan peranan,” katanya.

Syed Saddiq turut menegaskan kepentingan menyediakan pendidikan prasekolah percuma dan berkualiti untuk semua kanak-kanak, termasuk memastikan setiap pelajar mendapat guru terbaik, makanan berkhasiat dan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

“Kita perlu pastikan sekolah kebangsaan kekal menjadi pilihan utama semua keluarga,” ujarnya. — The Star/ Allison Lai, Rahimy Rahim dan Benjamin Lee

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram