[VIDEO] Kerap diserang sawan, mayat pemancing ditemukan tertiarap di sawah padi di Bachok


  • Kes
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Tangkap layar daripada video orang awam memaparkan tubuh mangsa kelihatan tertiarap di sawah padi.

MAYAT seorang lelaki dipercayai pemancing ditemukan dalam keadaan tertiarap di sawah padi Ladang Padang Merdeka, Jelawat di Bachok, Kelantan pada Jumaat.

Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian dipercayai pukul 9 pagi itu, mayat Muhammad Daniel Redzuan Abdullah ditemukan penduduk yang melihat motosikal mangsa di bahu jalan kampung menuju sawah padi sejak petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, curiga dengan motosikal jenis Yamaha Y14ZR tidak bertuan itu, penduduk melihat lebih dekat kawasan sawah padi sebelum menemui mayat tertiarap dan sebahagian muka berada dalam selut.

BACA LAGI: Nahas 3 sekawan, remaja lelaki maut tersepit kereta dipandu terbabas di Kota Bharu

BACA LAGI: Warga emas maut kereta dipandu terbabas bertembung bas di Kota Bharu

"Pemeriksaan di bahagian bawah badan si mati terdapat sebatang joran yang dipercayai digunakan untuk memancing. Keseluruhan tempat kejadian diperiksa namun tidak menemui sebarang objek atau cecair yang boleh mengaitkan kematian dengan perbuatan jenayah," katanya.

Beliau berkata, kad pengenalan di dalam dompet turut ditemukan di atas batas sawah padi berkenaan selain menyatakan saksi mengatakan melihat motosikal berkenaan diletakkan di bahu jalan, namun sehingga malam masih berada di tempat sama dalam keadaan berkunci.

"Menurut ibu mangsa, anaknya keluar rumah dengan membawa joran dan peralatan memancing jam 5 petang pada Khamis lalu.

"Ibu mangsa memaklumkan arwah mengalami sawan sejak dua tahun lalu dan dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, mangsa kerap diserang dengan keadaan mulut berbuih dan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit untuk pulih daripada serangan," katanya.

Mohd Azrie berkata, keterangan saksi konsisten dan selari dengan penemuan mayat yang tidak menemui apa-apa kecederaan di luar badan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian bagi menentukan punca sebenar kematian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram