Anak kena 'sawan tarik', ini panduan kecemasan buat ibu bapa


  • Bonda
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Ibu bapa perlu peka dengan tanda dan tindakan segera ketika anak mengalami sawan tarik.

SAWAN tarik atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai 'febrile seizure' merupakan keadaan yang mana kanak-kanak mengalami kekejangan badan akibat peningkatan suhu secara mendadak, biasanya ketika demam.

Kejadian itu sering berlaku pada kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga enam tahun.

Walaupun ia boleh berlaku hanya beberapa minit, kesannya boleh menjadi serius jika tidak ditangani dengan betul, terutamanya kerana otak berisiko kekurangan oksigen semasa kekejangan.

BACA LAGI: Kakak redah asrama lepas adik 'call' mengadu akan dipukul geng senior

BACA LAGI: Luahan guru tentang murid 'cari pasal' terima nasihat ramai

Melalui perkongsian Dunia Mama Dan Si Manja di Facebook oleh Nurul Eifa, ibu bapa diingatkan tentang langkah segera perlu dilakukan sekiranya anak mengalami sawan tarik di rumah.

Pengetahuan itu penting sebagai persediaan kerana sawan tarik boleh berlaku secara tiba-tiba, walaupun kepada kanak-kanak yang kelihatan sihat.

Langkah kecemasan jika anak alami sawan tarik

1. Baringkan anak mengiring bagi memastikan saluran pernafasan terbuka.

2. Longgarkan atau buka pakaian supaya badan tidak terhalang daripada bergerak bebas.

3. Pastikan mulut terbuka dan jika terdapat buih atau air liur, kekalkan posisi mengiring supaya ia keluar dengan sendiri. Ia bagi mengelakkan risiko lemas atau tercekik.

4. Elakkan anak mengetap gigi kerana boleh mencederakan lidah.

5. Jangan masukkan ubat melalui dubur semasa anak sedang kejang. Tunggu sehingga dia sedar, kemudian basahkan kaki dengan air. Jika anak sudah menangis atau sedar sepenuhnya, barulah berikan ubat yang ada di rumah.

6. Sekiranya tiada ubat di rumah, selepas anak sedar, segera bawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

7. Jangan goncang badan anak ketika kejang. Kekalkan posisi mengiring dan sedarkan anak dengan mengalirkan air sejuk bermula dari kaki ke atas.

Walaupun rawatan awal telah diberikan di rumah, anak masih perlu dibawa ke klinik atau hospital bagi mendapatkan bantuan oksigen.

Kekurangan oksigen walaupun untuk masa singkat boleh menyebabkan kecederaan kekal pada otak.

Sawan tarik juga berpotensi berulang, terutama pada kanak-kanak yang pernah mengalaminya.

Oleh itu, ketika anak demam, pemantauan suhu badan sangat penting.

Pengetahuan ini penting sebagai persediaan kerana sawan tarik boleh berlaku secara tiba-tiba, walaupun kepada kanak-kanak yang kelihatan sihat.

Punca sawan tarik

Beberapa faktor boleh menyebabkan sawan tarik berlaku, antaranya:

1. Demam dengan suhu tinggi atau kenaikan suhu mendadak, walaupun ada kes berlaku tanpa demam tinggi.

2. Jangkitan pada saluran pernafasan atau telinga seperti otitis media.

3. Kecederaan dalaman pada kepala akibat terjatuh yang mungkin menyebabkan pendarahan.

4. Cirit-birit berterusan hingga menyebabkan dehidrasi dan kehilangan garam mineral.

5. Persekitaran panas melampau, seperti bilik tertutup tanpa pengudaraan walaupun kipas berputar.

6. Kekurangan oksigen, contohnya jika berada terlalu lama dalam kereta walaupun pendingin hawa dihidupkan.

7. Kekurangan gula dalam badan akibat tidak mahu makan atau minum.

8. Menangis berterusan hingga menyebabkan kebiruan pada bibir dan kulit.

9. Tercekik objek atau makanan di dalam mulut.

10. Faktor keturunan daripada keluarga yang mempunyai sejarah sawan tarik.

Sawan tarik adalah kecemasan perubatan yang memerlukan tindakan segera dan tepat bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Pengetahuan itu bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa, malah dapat mengurangkan kemungkinan komplikasi jangka panjang pada anak.

Setiap ibu bapa wajar mengetahui prosedur itu sebagai langkah berjaga-jaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram