
KONFLIK antara Kemboja dan Thailand yang tercetus pada penghujung Julai lalu sememangnya mengejutkan kerana tentera kedua-dua negara tersebut menggunakan kekerasan cukup hebat.
Selain mengerah anggota tentera di beberapa lokasi sekitar sempadan, ketegangan itu diburukkan dengan penggunaan jentera ketenteraan sehingga mengorbankan 46 nyawa, termasuk 24 orang awam.
Enggan melihat situasi tersebut memburuk, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjadi orang tengah dalam usaha kedua-dua negara tersebut mencapai keamanan.
BACA LAGI: Panggilan telefon, baju batik PM Anwar bayangi kisah tarif 19 peratus AS
BACA LAGI: Fasiliti pendidikan autisme bakal dibina di seluruh negara — PM Anwar
Anwar (tengah) sebagai Pengerusi Asean menjadi orang tengah dalam usaha pendamaian antara Kemboja dan Thailand. — Agensi
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Asean tampil menjemput wakil dari Kemboja dan Thailand ke majlis rundingan yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin.
Selepas proses perbincangan tersebut, Anwar mengumumkan gencatan senjata berjaya dipersetujui antara kedua-dua pihak dalam usaha mencapai keamanan dan mengakhiri konflik berkenaan.
Meskipun laporan menyatakan salah satu pihak melanggar arahan terbabit, usaha ditunjukkan Perdana Menteri untuk mengelak ketegangan tersebut berlarutan wajar menerima pengiktirafan.
Malah, beberapa pihak tampil melontarkan cadangan supaya beliau menerima Hadiah Keamanan Nobel 2025 atas peranan menamatkan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dicapai selepas proses rundingan di Malaysia. — Agensi
Cadangan tersebut dituruti dengan sebuah petisyen dilancarkan di laman sesawang Change.org yang menyatakan Anwar layak dicalonkan selain diberikan anugerah terbabit.
Perkara itu dicadangkan bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang mengharapkan lebih ramai akan tertarik dengan idea tersebut dalam usaha menaikkan lagi reputasi beliau di pentas antarabangsa.
Setakat ini, petisyen itu sudah menerima 593 sokongan dengan ia membuktikan sumbangan Perdana Menteri disedari ramai, lebih-lebih lagi buat penduduk di Kemboja dan Thailand yang terkesan.
Untuk rekod, hanya dua rakyat tempatan pernah meraih Hadiah Keamanan Nobel iaitu Leftenan Kolonel Mohd Nasarudin Yusof pada 2013 serta Datuk Dr Ronald McCoy yang dianugerahkan empat tahun kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram