
DALAM dunia hiburan, kisah cinta sering dibalut dengan adegan romantik yang berlebihan seperti lelaki melamar di tepi pantai, bunga sejambak setiap minggu atau janji manis di bawah hujan.
Tetapi di dunia nyata, cinta jarang datang sebegitu rupa.
Bagi Sofea Shahrol, cinta sebenar lebih kepada tindakan kecil yang konsisten setiap hari, bukan seperti jalan cerita drama Korea sarat fantasi.
BACA LAGI: Suite hotel tema 'Clueless' lengkap almari ‘Cher-approved’, bangkit nostalgia 1990-an
BACA LAGI: Anak kena 'sawan tarik', ini panduan kecemasan buat ibu bapa
Sofea berkongsi di Threads bahawa ada pasangan menganggap suami yang membantu membuat kerja rumah hanya melakukan tugas asas atau 'bare minimum'.
"Betul lah selama ini pengiraan aku, ramai perempuan sekarang dah hilang rasa syukur. Suami tolong buat kerja rumah pun dikatakan sekadar cukup-cukup makan.
"Tolonglah, perbuatan membantu itu juga adalah bahasa cinta. Bukan semua orang dapat rasa pun. Boleh tak kita raikan usaha, bukan bandingkan dengan drama Korea?
"Kalau dah tak reti bersyukur, semua pun akan nampak tak cukup," katanya.
Romantik sederhana lebih bermakna berbanding fantasi drama. — Gambar hiasan
Bagi Sofea, perjalanan rumah tangganya membuktikan bahawa usaha yang ikhlas, walaupun kecil, membawa makna besar.
"Aku kerja, dia kerja. Pendapatan kami sama. Aku buat kerja rumah, dia pun buat. Anak aku jaga, dia pun bergilir.
"Aku tak masak, dia beli makanan. Dia balik lambat, aku urus anak. Tapi dia masih sempat bagi bunga tiba-tiba masa shopping, masih buka pintu kereta.
"Susah sangat ke nak hargai benda simple? Kadang usaha itu bukan tak ada, tapi kita yang terlalu sibuk mencari salah.
"Hidup lebih mudah bila kita tahu beza antara kurang usaha dengan cukup tetapi bukan seperti fantasi kita," jelasnya.
Rumah tangga bahagia terhasil daripada saling menghargai. — Gambar hiasan
Perkongsian Sofea menerima sokongan daripada orang ramai yang bersetuju dengan pandangannya.
Azrina berkata: "Setuju. Banyak bersyukur, tolonglah. Dapat suami yang tolong buat kerja rumah itu rezeki.
"Kalau semua nak ikut kehendak sendiri, susah juga. Kesian lelaki rasa dah berkorban banyak tapi asyik dikata 'bare minimum' semata-mata sebab tak romantik.
Nurhikmah pula berkongsi pandangannya: "Saya tertanya-tanya, apa sebenarnya had 'bare minimum'? Kadang terlalu banyak jangkaan boleh merosakkan hubungan.
"Saya tanya beberapa kawan perempuan, apa definisi 'bare minimum', tapi tiada yang dapat jawab.
"Akhirnya, kita perlukan pasangan yang layan kita dengan baik dan mencintai kita seperti kita mencintai dia.
"Jadilah tempat selamat untuk satu sama lain, dan istilah 'bare minimum' itu tak perlu jadi isu lagi."
Danialwrx juga mendoakan Sofea: "Kakak, saya nak ucap terima kasih sebab menghargai suami. Dia lelaki yang baik, ditemani wanita baik di sisinya.
"Betul dalam al-Quran pun sebut, lelaki baik untuk perempuan baik, perempuan baik untuk lelaki baik.
"Semoga ALLAH terus berkati perkahwinan anda dan kurniakan rezeki yang melimpah. Amin."
Kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung pada sejauh mana ia meniru drama romantik di kaca television.
Hakikatnya, cinta yang matang adalah saling menghargai, saling melengkapi dan membina keindahan dari perkara kecil yang dilakukan setiap hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram