
"CIKGU, boleh saya tahu, kat mana sekolah asrama terbaik kat Malaysia yang takde buli-buli?"
Pertanyaan polos itu datang daripada mulut seorang murid darjah 2, namun cukup untuk membuat guru wanita, Hazwani Mohd Dah terdiam dan tersentuh hati.
Dalam satu hantaran di media sosial, Hazwani berkata, murid berusia lapan tahun itu datang kepadanya dengan wajah sebak, bibir menguncup seperti menahan tangis.
“Saya pandang muka dia… air mata dia dah nak jatuh. Dalam hati saya tertanya-tanya, kenapa dia sedih sangat?” katanya.
Apabila ditanya, murid itu akhirnya mendedahkan sebab sebenar iaitu dia bimbang akan keselamatan abang kandungnya yang kini di Darjah 6 dan sedang memohon kemasukan ke sekolah berasrama penuh.
“Iya cikgu… saya takut abang saya kena buli. Saya sayang dia. Saya nak tau sekolah yang takde buli-buli. Saya taknak abang saya jadi yang macam… kakak tu,” luahnya, merujuk kepada kes kematian arwah Zara Qairina baru-baru ini.
Hazwani mengakui tidak menyangka seorang murid semuda itu mampu memikirkan soal keselamatan ahli keluarga, apatah lagi terkesan dengan isu buli di sekolah berasrama.
“Selama ini saya sangka yang risau cuma ibu bapa dan pelajar yang bakal masuk asrama. Rupanya, adik kecil pun ambil tahu. Dia sudah mula merasakan sekolah berasrama tidak selamat,” katanya.
Mengulas isu itu, Hazwani menegaskan masalah buli tidak akan selesai hanya dengan peraturan atau hukuman, sebaliknya perlu dibendung melalui pendidikan nilai.
“Ittaqullah. Rasa takut kepada ALLAH, sedar bahawa setiap perbuatan akan dihisab. Kalau nilai ini tiada, hatta belajar di sekolah agama sekalipun, tetap sia-sia,” tegasnya.
Sebelum murid itu pulang, Hazwani sempat menyampaikan pesan kepada abangnya.
“Awak kena sayang adik awak extra. Dia sayang sangat kat awak. Dia cakap walaupun abang nampak garang, tapi dalam hati ada taman,” katanya.
Pada 17 Julai lalu, negara dikejutkan dengan kematian Zara Qairina, pelajar sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Siasatan awal mendapati mangsa mungkin menjadi mangsa buli sebelum kejadian, namun siasatan polis masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram