
IBU Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat tampil menjelaskan persoalan mengenai tindakan menolak proses bedah siasat terhadap anaknya yang disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Berdasarkan pada komen yang ditinggalkan oleh akaun Facebook, Noie Aida memberitahu bahawa tiada penerangan yang jelas mengenai proses tersebut dan mereka tidak biasa melalui kes berkenaan.
BACA LAGI: Penglibatan pasukan khas JSJ Bukit Aman antara 4 permintaan peguam keluarga Zara Qairina
BACA LAGI: Mahkamah Koroner akan kendali inkues kes Zara Qairina — Jabatan Peguam Negara
"Kami terkejut, panik dan tidak mampu membuat keputusan waras ketika kejadian. Memang tiada penerangan yang jelas, kami tidak biasa dengan kes sebegini.
"Kami panik, tiada satu pun nasihat dan pengukuhan diberikan mengenai proses post morterm. Kalau kami tahu, kami tidak akan sesekali turunkan tandatangan enggan post mortem. Boleh bayangkan ke sekarang? Kematian ini berlaku dengan cepat.
"Satu malam saja di Hospital Queen Elizabeth. 20 jam masuk wad Neurologi," tulisnya menerusi ruangan komen di akaun Facebook, Noie AiDa berkenaan.
Tangkap layar komen daripada Noraidah.
Memetik laporan Sinar Harian, peguam kes berkenaan iaitu Hamid Ismail mengesahkan akaun dengan nama pengguna 'Noie Aida' itu adalah milik Noraidah, 45.
Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan siasatan mendedahkan, terdapat persetujuan daripada Noraidah enggan proses bedah siasat dilakukan.
Terdahulu, M Kumar turut mendedahkan hasil bedah siasat pada 10 Ogos mendapati ia selari dengan diagnosis awal iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh.
Bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Serdang, Selangor dan HQE, Kota Kinabalu, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram