
PASUKAN Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini ditugaskan ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selepas kes tersebut mendapat perhatian umum.
Penglibatan Pasukan Petugas Khas berkenaan dalam siasatan kes kematian Zara Qairina merupakan antara empat permintaan daripada peguam keluarga pelajar tersebut.
Menurut kenyataan bersama peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, pada 5 Ogos lalu pihaknya menghantar empat perkara yang dipohon kepada Jabatan Peguam Negara, antaranya proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
BACA LAGI: Bukit Aman hantar 9 pegawai ke Sabah, tubuh pasukan khas ambil alih kes Zara Qairina
BACA LAGI: Peguam sahkan ada kesan cedera pada mayat Zara Qairina selepas bedah siasat
Zara Qairina ditemui tidak bernyawa SMKA Datu Mustapha selepas didakwa ditolak dari tingkat tiga blok asrama sekolahnya.
“Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan bahawa wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Di samping itu, perkara lain yang dipohon termasuk kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siasatan dibuka semula, kubur Zara Qairina digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kumpulan peguam tersebut turut meminta satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina.
Sebelum ini, Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, penghantaran pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai itu adalah komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“Penghantaran pasukan ‘task force’ ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah keesokannya (17 Julai).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram