
STRUKTUR simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memerlukan reformasi menyeluruh bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai pelindung rakyat ketika usia persaraan, terutama dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Menurut Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir, dana persaraan bukan sekadar simpanan, tetapi menjadi benteng terakhir bagi menjamin kelangsungan hidup dan maruah keluarga.
"Pulangan rendah akan menghakis kuasa beli pesara secara senyap-senyap.
BACA LAGI: BNPL bukan penyelesaian tekanan kos sara hidup, sebaliknya perangkap — Perunding Kewangan
"Akaun 1 wajar direka bentuk semula dengan strategi pelaburan lebih agresif dan mampan supaya pulangannya mengatasi inflasi, sekali gus membina kekayaan persaraan yang sebenar,” katanya kepada Majoriti.
Jelas beliau lagi, Akaun 2 seharusnya kekal fokus kepada keperluan pra-persaraan yang memberi kesan jangka panjang seperti bayaran muka rumah pertama, pembiayaan pendidikan dan rawatan perubatan.
Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir
Beliau turut membantah cadangan membenarkan penggunaan Akaun 2 bagi bayaran sumbangan takaful tahunan kerana langkah itu tidak mampan.
“Apabila baki Akaun 2 habis, perlindungan takaful akan terhenti, meninggalkan ahli tanpa jaminan perlindungan.
"Sumbangan bertahun-tahun menjadi sia-sia jika polisi tidak mampu diteruskan,” jelasnya.
Bagi Akaun 3, Shamsuddin menegaskan ia perlu dikekalkan sebagai tabung kecemasan yang hanya digunakan ketika krisis seperti kehilangan pekerjaan atau bencana alam.
Tambah Shamsuddin, KWSP, yang ditubuhkan pada 1951, kini mengurus simpanan lebih 16 juta ahli dan menjadi antara dana persaraan terbesar di Asia.
Namun, ketiadaan sistem pencen fleksibel di Malaysia menyebabkan ramai pesara menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas bersara.
“Lebih tragis, apabila suami meninggal dunia, isteri yang menjadi suri rumah dibiarkan tanpa sumber pendapatan, bergantung pada belas ihsan anak-anak atau saudara mara.
"Ini bukan sekadar isu kewangan, tetapi soal maruah dan keselamatan sosial,” katanya.
Shamsuddin berkata, Malaysia memerlukan sistem pencen pintar yang membenarkan pengeluaran berjadual, menawarkan pendapatan sepanjang hayat, dan memberi fleksibiliti mengikut keperluan individu.
"Masa untuk meninggalkan pendekatan ‘satu untuk semua’ sudah tiba. Pembaharuan ini adalah soal masa depan jutaan keluarga Malaysia,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram