Gejala buli diwarisi senior ke junior, pelajar takut nak buat aduan pada guru — PIBGN


  • Massa
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Budaya buli di sekolah berpotensi berulang dari generasi ke generasi apabila ia 'diwarisi' daripada pelajar senior kepada junior. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

BUDAYA buli di sekolah berpotensi berulang dari generasi ke generasi apabila ia ‘diwarisi’ daripada pelajar senior kepada junior sehingga dianggap normal di sesetengah institusi pendidikan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, situasi itu membimbangkan kerana ramai pelajar enggan membuat aduan kepada guru bimbang identiti mereka terbongkar.

“Kadang-kadang pelajar takut untuk melapor kerana khuatir nama mereka diketahui. Tambahan pula, budaya buli ini diwarisi daripada senior kepada junior sehingga seolah-olah menjadi tradisi di sekolah tertentu,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Pelajar trauma, ramai minta balik rumah', guru bimbang kes buli Zara Qairina kikis kepercayaan terhadap sekolah

BACA LAGI: 'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar wakil PIBG atau alumni sekolah dijadikan ‘mata dan telinga’ bagi memantau keselamatan serta meningkatkan kesedaran murid di sekolah.

“Wakil PIBG dan alumni perlu bekerjasama menangani kes buli. Insya-ALLAH, jika semua pihak bersatu, kes buli dalam kalangan pelajar dapat dibendung,” ujarnya.

Datuk Dr Mohamad Ali Hassan

Mengulas cadangan mereformasi sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli, Mohamad Ali berkata ia bukan perkara baharu, namun mungkin hanya perlu diaktifkan semula.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan talian panas (hotline) terbuka kepada semua pihak.

“Ia sepatutnya diwujudkan bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri.

“Mesti ada jawatankuasa khas yang profesional untuk mengendalikannya, bukannya sekadar diwujudkan tanpa tindakan susulan sehingga laporan atau aduan diabaikan.

“Wakil dalam jawatankuasa ini juga perlu melibatkan ibu bapa atau penjaga daripada PIBG serta pihak berkaitan sekolah,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang didakwa meninggal dunia selepas dibuli di sebuah sekolah di Sabah.

“Saya amat berdukacita dengan apa yang berlaku kepada arwah. Kita doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan penuntut ilmu. Saya menganggap mereka ini sebagai syuhada.

“Kita tunggu laporan penuh, dan saya berharap perkara sebegini tidak berulang. PIBG sekolah serta alumni juga perlu lebih peka terhadap isu seperti ini,” katanya.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama sebuah sekolah di Papar sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Namun, keesokan harinya, beliau disahkan meninggal dunia dengan laporan awal menyatakan mangsa terjatuh dari tingkat tiga asrama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram