Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli


  • Massa
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Isu buli bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi ancaman nyawa yang menuntut tindakan segera. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

LEBIH tiga dekad memisahkan dua tragedi berbeza, namun ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu buli kekal konsisten sejak dahulu hingga kini.

Pada 1988, ketika menyandang jawatan Menteri Pendidikan, Anwar berdepan kes buli berprofil tinggi yang menggemparkan negara apabila seorang pelajar, Hishamudin Majid, 17, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas dipukul di tandas sekolah menengah di Selangor.

Mangsa, yang berasal dari Rawang, Selangor, meninggal dunia pada 28 Mac 1988 akibat pendarahan dalaman selepas saluran darahnya pecah.

BACA LAGI : Gejala buli diwarisi senior ke junior, pelajar takut nak buat aduan pada guru — PIBGN

BACA LAGI : 'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

Kedua-dua tertuduh, berusia 17 tahun, mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Keratan akhbar kes buli pelajar, Hishamudin Majid yang meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas dipukul di tandas sekolah menengah di Selangor pada 1988. — Media sosial

Kes itu mendapat liputan meluas media dan mencetuskan kemarahan orang ramai, mendorong desakan supaya kerajaan mengambil tindakan drastik membendung budaya buli yang kian membimbangkan.

Tanpa menunggu keputusan siasatan, Anwar melakukan pemeriksaan mengejut di sekolah berkenaan dan memberi tempoh dua minggu kepada pengurusan untuk mengetatkan disiplin atau berdepan penutupan sekolah.

Langkah tegas itu disusuli pelantikan pengetua baharu, seorang penolong kanan serta dua guru tambahan di sekolah tersebut. 

Malah pada tahun yang sama, Kementerian Pelajaran (KPM) turut memperkenalkan  hukuman rotan sebagai pencegahan jangka panjang terhadap gejala salah laku pelajar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal konsisten dalam menangani isu buli sejak dahulu hingga kini.

Walaupun pada Januari 1990 mahkamah membebaskan kedua-dua pelajar tertuduh kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tindakan pantas Anwar pada masa itu menjadi penanda aras kepimpinan tegas dan tanpa kompromi terhadap isu buli.

Kini, pada 2025, Anwar sekali lagi berdepan kes kematian pelajar dan kali ini melibatkan Zara Qairina Mahathir, 13, yang ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.

Malangnya, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai  akibat kecederaan parah. 

Mengulas kes itu, Anwar memberi jaminan siasatan telus tanpa sebarang tolak ansur, menegaskan tiada individu akan dilindungi. 

Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.

Beliau menegaskan, individu yang bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.

“Kita juga tak mahu benda ini jadi bahan politik. Pepatah Melayu sebut, jangan membina istana di atas pusara orang. 

"Tengah korban, kamu fikir nak guna untuk bina istana, jangan. Arahan kita jelas, tiada ada tolak ansur," tegasnya. 

Beliau turut mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah memantau secara langsung perkembangan kes bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan tidak menimbulkan keraguan orang ramai.

Tragedi yang merentasi dua era ini menjadi peringatan jelas bahawa isu buli bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi ancaman nyawa yang menuntut tindakan segera. 

Prinsip tegas yang dipegang Anwar sejak 1988 sehingga kini menunjukkan, tanpa ketegasan kepimpinan, budaya ganas ini akan terus membiak dan meragut generasi masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram