
BEKAS Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa menerima dua mesej berbaur ugutan selepas kejadian yang membabitkan serangan anak lelakinya di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Rabu.
Menurut Rafizi dalam satu sidang media pada Khamis, dia mendedahkan bahawa isterinya menerima ugutan melalui WhatsApp selepas kejadian berkenaan.
Rafizi berkata, ugutan pertama diterima pada pukul 1.12 pagi, manakala ugutan kedua pula menyusul pada pukul 11.02 pagi, kedua-dua mesej mengandungi ancaman yang sama, iaitu diam jika teruskan AIDS daripada nombor telefon yang sama.
BACA LAGI: Anak Rafizi diserang individu tak dikenali di pusat beli-belah di Putrajaya
BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya
"Isteri saya ada menerima ugutan pukul 1.12 pagi yang berbunyi, diam jika teruskan... AIDS.
"Secara jelasnya, ini adalah satu ugutan kerana ada mesej-mesej yang terus dihantar selepas kejadian itu.
"Jadi, saya sudah nyatakan kepada pihak polis supaya pada hemat saya, ini adalah satu ugutan yang bersabit dengan tugas saya sebagai ahli parlimen dan ahli politik," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, beliau percaya kejadian serangan terhadap anak lelakinya mempunyai kaitan dengan cubaan ‘menutup mulutnya’ berkaitan satu skandal.
Bekas Menteri Ekonomi itu bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai ‘skandal’ berkenaan, namun memberitahu, maklumat itu diterima hasil perjumpaannya dengan sekumpulan pemberi maklumat, Rabu minggu lalu.
“Pada hemat saya, ini bersabit cubaan untuk menutup mulut saya. Ada sesuatu saya sedang teliti dan serangan ini adalah mesej untuk saya.
“Memang ada satu kumpulan ‘whistleblower’ datang pada saya Rabu minggu lepas mengenai satu skandal berkaitan wang.
“Maksudnya saya ingat pihak terbabit tahu kalau saya sudah mula lihat satu skandal, saya akan ‘go deep’ (siasat lebih mendalam)…pada saya, mereka nak saya ‘move on’ dan tidak meneruskannya,” katanya sambil mendedahkan beliau tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini.
Sementara itu, Rafizi turut berpandangan bahawa terdapat tiga kemungkinan kandungan suntikan diterima anaknya yang dibuat oleh penyerang.
Rafizi mendakwa, kemungkinan yang pertama ialah suntikan diterima anaknya itu berbentuk dadah ataupun racun.
"Kedua, yang disuntik itu adalah berbentuk virus. Maksudnya seperti hepatitis, HIV dan yang lain-lain. Yang ketiga ialah suntikan itu hanya kosong, dia suntik air.
"Untuk tempoh 24 jam yang pertama, keutamaannya ialah selain daripada ujian darah, untuk kita tolak kemungkinan dadah ataupun racun.
"Yang penting ialah pemerhatian. Sekarang ini, pemerhatian nampak ok, tidak ada kesan-kesan segera," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram