[VIDEO] Hati-hati Sabah, KL City pertaruh trio 'buangan' termasuk Safawi-Hidalgo buru 3 mata penuh


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Sabah FC dijangka berdepan cabaran sengit untuk membawa pulang tiga mata dari Stadium Cheras. — Facebook/Sabahfc

 

 

SKUAD Kuala Lumpur City FC (KL City FC) seolah-olah melaungkan amaran awal kepada Sabah FC menjelang pertembungan Liga Super 2025/2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Skuad The City Boys dijangka menurunkan barisan serangan mantap yang diketuai tiga tonggak utama antaranya Safawi Rasid, Manuel Hidalgo dan Paulo Josue bagi menggempur kubu pelawat.

Perlawanan tersebut bakal menjadi aksi sulung Sang Badak dalam kempen Liga Malaysia musim ini, sekali gus meningkatkan tekanan buat pasukan yang berpangkalan di Borneo itu untuk meraih tiga mata penuh di laman lawan.

BACA LAGI: Janggal tapi bukan halangan, 3 stadium keramat dikongsi kelab divisyen berbeza

BACA LAGI: Hong Wan ke JDT II cuma bersifat sementara, terpulang bangkit berevolusi atau kekal statik — Pemerhati

Sebaliknya, skuad Warga Kota itu tampil lebih bersedia selepas membuka tirai musim dengan langkah kanan, apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu.

Kemenangan tersebut bukan sahaja menyuntik semangat skuad kendalian Risto Vidakovic, malah menjadi motivasi besar untuk meneruskan momentum positif apabila beraksi di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam, menerusi satu hantaran di laman X, mendedahkan skuad Warga Kota kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan The Rhinos.

"Misi kekalkan momentum kemenangan, KL City sedia berdepan Sabah untuk aksi pertama di laman sendiri menerusi kelibat pemain berstatus Paulo Josue, Safawi Rasid dan Manuel Hidalgo,” katanya.

Dalam perlawanan sebelum ini, Safawi dan Hidalgo masing-masing menjaringkan satu gol, manakala satu lagi gol merupakan jaringan sendiri pemain Imigresen FC, Rizal Ghazali.

Sabah yang bakal memulakan kempen musim ini bertemu KL City dijangka menghadapi cabaran sengit untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Cheras. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram