Aktivis belia sanggup keluar modal RM80,000 buka bisnes dim sum, jadikan kedai platform beri khidmat masyarakat


  • Bisnes
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Imran (dua kiri) bersama pihak Nurin Dian Xin Delight Pte Ltd, iaitu satu-satunya pembekal dim sum halal di Singapura. — Imran Mean

PADA usia 24 tahun, ketika ramai anak muda sibuk memanjat tangga korporat atau menyambung pengajian, Muhamad Imran Mean memilih laluan yang berbeza.

Anak kelahiran Singapura itu membuka sebuah warung dim sum halal dan menjadikan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa pertamanya.

Imran bukanlah wajah asing dalam kalangan aktivis muda. Sebelum ini, dia dikenali sebagai pengasas IM Volunteers Network SG, sebuah rangkaian sukarelawan yang berkembang merentas sempadan ke Malaysia dan Indonesia.

BACA LAGI: Pernah jadi bos 4 cawangan kedai telefon, wanita dari Ipoh ikut jejak ibu pandu bas di Singapura

BACA LAGI: Miniland bertema Singapura tarikan baharu di Nusajaya, guna 1.5 juta bata mini Lego

Di Warung Dimsum, harga yang ditawarkan kekal mampu milik terutamanya untuk sasaran pelanggannya terdiri daripada golongan muda. — Imran Mean

Kini, misi kemasyarakatan yang sama diteruskan dalam bentuk berbeza iaitu melalui dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B).

"Saya nak beri lebih banyak peluang kepada sukarelawan dan belia. Jadi saya fikir, kenapa tidak buka perniagaan yang boleh sediakan pekerjaan buat mereka?"

"Bukan kerana nak cari untung, tapi sebab nak berkhidmat untuk masyarakat," katanya memetik Berita Mediacorp.

Terletak di 925 Yishun Central 1, Warung Dimsum menampilkan lebih 20 pilihan dim sum halal seperti bola udang karang, pau kastard ‘golden lava’ dan udang goreng bersalut serbuk roti yang dijual pada harga bermula S$3 (RM9.85) sepinggan.

"Ramai tanya kenapa tak jual nasi campur ke atau makanan lain tapi saya nampak dim sum cukup popular dalam kalangan orang muda.

"Cuma susah nak cari yang halal. Itu sebab saya pilih dim sum,” katanya.

Antara cabaran mengendalikan perniagaan ialah menguruskan pekerja yang rata-ratanya golongan belia. — Imran Mean

Inspirasi itu membawa Imran kepada satu pertemuan yang tidak disangka-sangka iatu dengan syarikat Nury Dian Xin Delight, satu-satunya pembekal dim sum halal di Singapura.

"Saya (secara kebetulan) bertemu pembekal itu dan kami putuskan untuk bekerjasama," tuturnya.

Memulakan dan mengendalikan satu perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi di tengah-tengah ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.

Menurut Imran, kos membuka Warung Dimsum sahaja menelan belanja sekitar S$25,000 (RM82,065), sementara sewa bulanan mencecah S$6,000 (kira-kira RM19,700).

Namun, Imran tetap berpegang kepada prinsip agar harga yang ditawarkan kekal mampu milik terutamanya untuk sasaran pelanggannya terdiri daripada golongan muda.

Bekas pelajar Politeknik Ngee Ann itu berkata, mengendalikan perniagaan lebih mencabar berbanding mengetuai gerakan sukarelawan.

"Kalau saya nak cakap terus terang, memang kerja sukarela lagi senang. Tak perlu urus duit, cuma (kerja sukarelawan) kena cari dana sendiri. Tapi apaila berniaga, kena jaga pelanggan.

"Kadang-kadang ada yang marah pau lembik. Itu baru seorang. Kalau 10 orang mengadu, susah juga," luahnya.

Perniagaan dim sum dipilih kerana menu itu cukup popular dalam kalangan orang muda selain didapati daripada pembekal halal. — Imran Mean

Tambah Imran, satu lagi cabaran menguruskan Warung Dimsum ialah menguruskan tenaga kerjanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan yang hanya menggajikan belia.

"Saya nak pastikan mereka masih boleh sekolah dan ada masa untuk diri sendiri walaupun bekerja," ujarnya, menyedari pentingnya keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Meskipun baru beroperasi, Warung Dimsum mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan janaan pendapatan lebih S$20,000 (RM65,652) sebulan.

Ramai dalam kalangan pelanggan Imran bahkan adalah ibu bapa kepada belia yang pernah menyertai projek kemasyarakatan yang dianjurkan Imran sebelum ini.

"Kadang-kadang mereka datang dan kata, ‘Eh, dulu awak jaga anak saya masa volunteer, sekarang dah buka dim sum pula!’ Mereka sokong, bawa satu kampung datang. Saya memang terharu," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram