KPM bentang laporan audit buli dalam tempoh 3 bulan lagi


  • Massa
  • Isnin, 11 Ogos 2025

KPM akan melaksanakan audit keselamatan secara serta-merta di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.

 

 

KEMENTERIAN Pendidikan akan melaksanakan audit keselamatan secara serta-merta di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM.

Menurutnya, hasil laporan audit berkenaan akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera.

BACA LAGI: Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

BACA LAGI: [VIDEO] Empat termasuk 2 budak maut, seorang parah nahas bertembung treler di Gua Musang

“Langkah ini turut disertai usaha menambah baik SOP keselamatan sekolah serta menangani isu disiplin termasuk salah laku buli agar ia relevan dengan keperluan semasa dan masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, KPM pada masa akan mereformasi sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli supaya lebih mudah diakses selain menyediakan pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

"Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan KPM akan ditubuhkan bagi memperkasa aspek keselamatan sekolah melalui penglibatan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, polis serta Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“KPM juga tidak akan berkompromi terhadap salah laku buli. Tindakan tegas akan diambil termasuk hukuman gantung dan buang sekolah,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga memperkenalkan program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ khusus untuk murid yang digantung sekolah dengan penekanan kepada khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah.

Menurutnya, pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang gagal mengurus aduan buli mengikut garis panduan sedia ada juga akan dikenakan tindakan.

Beliau menegaskan, aspek sokongan psikososial akan terus diperkukuh di setiap peringkat dengan guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranan penting dalam pencegahan serta intervensi menangani salah laku buli.

KPM turut menyeru semua pihak agar bersama-sama menangani isu buli secara menyeluruh dan bersepadu kerana usaha mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat merupakan tanggungjawab bersama.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram